ANUGERAH mengiktiraf komitmen MR DIY mengembangkan perniagaan secara lestari.
ANUGERAH mengiktiraf komitmen MR DIY mengembangkan perniagaan secara lestari.

Kuala Lumpur: Peruncit perkakas rumah negara, MR DIY (M) Berhad dinobatkan sebagai Pendatang Baru Terbaik dalam Kategori Ekuiti di The Edge ESG Awards 2022 yang julung kali diadakan.

The Edge ESG Awards bertujuan mengiktiraf syarikat senarai awam (PLC) dan firma pengurusan aset yang dianggap sebagai peneraju dalam standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus di Malaysia.

Terdapat dua kategori dalam anugerah terbabit iaitu Ekuiti dan Dana.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, amalan kelestarian menjadi teras operasi kumpulan sejak syarikat ditubuhkan pada 2005.

"Kami sedia maklum bahawa pihak berkepentingan ingin tahu bagaimana ia diterapkan ke dalam visi, budaya dan operasi kami dan inginkan jaminan bahawa kami bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta memberi maklum balas terhadap keperluan komuniti di mana kami beroperasi.

"Sebagai peruncit perkakas rumah terkemuka negara dan sebagai salah satu syarikat terbaik dalam bursa saham Malaysia, kami menjadikan ia sebagai satu tanggungjawab untuk menetapkan penanda aras dalam prinsip dan amalan kelestarian dalam semua aspek operasi kami.

"Anugerah ini mengiktiraf komitmen syarikat untuk mengembangkan perniagaan secara lestari dan mencipta nilai yang boleh dikongsi bersama untuk semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya komited untuk memastikan akses kepada produk yang Always Low Prices.

Pihaknya berusaha mengembangkan rangkaian produk mesra alam yang ditawarkan di cawangannya, dengan sasaran untuk meningkatkan jualan produk mesra alam sebanyak 10 peratus menjelang 2030 bagi mengukuhkan lagi komitmennya terhadap amalan kelestarian.

Secara keseluruhannya, 44 syarikat diiktiraf dalam enam kategori bagi anugerah Ekuiti dan lima kategori di bawah anugerah Dana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 7:00 AM