BANGUNAN Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MoF) menjemput semua pihak untuk memberi maklum balas kepada Kertas Konsultasi Awam (KKA) bagi Bajet 2023 bertajuk "Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan."

MoF dalam satu kenyataan hari ini berkata KKA yang diterbitkan itu adalah bertujuan untuk melindungi dan membangunkan industri tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan mewujudkan peluang perniagaan,

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan serta membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan di samping menyokong ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan, kata kementerian tersebut.

Justeru, MoF menjemput semua pihak untuk memberi maklum balas kepada KKA tersebut melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/ sebelum atau pada 15 September, 2022.

"Penerbitan KKA merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MoF untuk menjadikan proses penyediaan Bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh," katanya.

Kementerian Kewangan berkata, penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosio- ekonomi negara.

— BERNAMA

TAG: KKA, Kementerian Kewangan, Bajet 2023, R&D, maklum balas, kerajaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 4:13 PM