Munirah (kiri) melancarkan CIMB-Principal Global Dividend Maximiser Fund bersama Arnold Lim.
Munirah (kiri) melancarkan CIMB-Principal Global Dividend Maximiser Fund bersama Arnold Lim.

Kuala Lumpur: CIMB-Principal Asset Management (CIMB-Principal) menyasarkan jualan bernilai RM300 juta daripada dana baru yang dilancarkannya iaitu Global Dividend Maximiser Fund menjelang akhir tahun ini.

Dana itu menyediakan pendapatan dan pertumbuhan modal berpotensi kepada pelabur menerusi skim pelaburan kolektif yang melabur dalam ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin berkata, dana ekuiti itu bakal meraih pulangan tahunan sebanyak lapan peratus dengan potensi untuk pertumbuhan modal di mana empat peratus daripadanya disumbangkan pendapatan dividen dan selebihnya oleh premium pilihan.

“Pembaharuan ini ditawarkan sebagai tindak balas kepada keperluan pelabur yang ingin melabur secara aktif, memperoleh hasil tinggi bagi portfolio ekuiti dividen dan mendapat manfaat daripada dua sumber pendapatan di mana kedua-duanya bebas daripada persekitaran kadar faedah.

“Dana ini boleh dilanggan pada harga minimun bernilai RM10,000 manakala pelaburan tambahan sebanyak RM5,000 dipelbagai saluran agihan daripada pengedar sah seperti CWA, CIMB Bank dan Standard Chartered,” katanya pada majlis pelancaran dana itu di sini, semalam.

Mengulas mengenai aset di bawah pengurusan kumpulan, Munirah berkata, sehingga 30 April 2015, syarikat menguruskan aset sebanyak RM59 bilion merangkumi ke semua cawangan termasuk Indonesia dan Singapura.

Setakat 31 April lalu, CIMB-Principal menguruskan 59 unit dana amanah termasuk 21 dana patuh syariah, 12 dana borong, 10 dana Skim Persaraan Swasta (PRS) dan dua dana dagangan bursa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:15 AM