AirAsiaX
AirAsiaX

Kuala Lumpur: AirAsia X (AAX) mengumumkan penumpang yang terjejas kini boleh menggunakan akaun kredit untuk menempah perkhidmatan sedia ada dengan segera.

Dalam tempoh tiga bulan akan datang, semua penumpang yang mempunyai kredit tidak digunakan dengan syarikat penerbangan itu juga akan menerima baucar perjalanan secara automatik yang boleh digunakan untuk menempah perjalanan sehingga lima tahun melalui akaun airasia rewards mereka.

Selain itu, penumpang yang terjejas oleh proses penstrukturan semula juga bakal menerima bayaran balik secara sekali beri sebanyak 0.5 peratus daripada nilai keseluruhan kredit perjalanan mereka yang tidak digunakan pada ulang tahun pertama Penstrukturan Semula Hutang AAX pada bulan Mac 2023, serta sebahagian daripada keuntungan AAX pada tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, pihaknya mengutamakan penumpang yang terjejas selama dua tahun ini kerana syarikat juga turut terkesan.

"Sebagai syarikat penerbangan antarabangsa, dua tahun kebelakangan ini mencabar bagi kami dengan penutupan sempadan di seluruh dunia.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang di atas kefahaman dan kesabaran mereka. Kami telah menggunakan tempoh sekatan perjalanan untuk membina semula syarikat penerbangan ini supaya AAX dapat kembali dengan lebih kukuh pascapandemik," katanya.

Baru-baru ini, AAX melancarkan perkhidmatan pascapandemik pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sydney dan minggu lalu ke New Delhi dan Seoul.

Perkhidmatan ini tersedia untuk tempahan menggunakan akaun kredit atau kredit perjalanan tertunggak bagi perjalanan sebelum 30 Jun 2022.

Jika tiada sebarang tempahan dibuat dalam tempoh ini, kredit perjalanan tertunggak atau akaun kredit akan ditukar secara automatik kepada baucar perjalanan dan akan dikreditkan kepada penumpang dalam beberapa bulan akan datang, sah untuk tempahan perjalanan sehingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:55 AM