AAX tawar keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan.
AAX tawar keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan.

AIRASIA X Bhd (AAX) memberi jaminan kepada penumpang yang terjejas oleh penstrukturan semula hutangnya dengan menawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula.

AAX berkata, penumpang terjejas juga menerima pembayaran nilai hutang 0.5 peratus dan kelayakan berasaskan tunai lain berdasarkan prestasi hasil tahunan selama tiga tahun seperti dinyatakan dalam penyata penjelasan yang dihantar kepada semua pemiutang, baru-baru ini.

Syarikat penerbangan itu berkata demikian bagi menjelaskan laporan media mengenai klasifikasi pengguna dan kelayakan mereka di bawah Skim Pengaturan (skim) yang disokong 99 peratus daripada semua pemiutang.

"Sila ambil maklum bahawa kelayakan dan kredit perjalanan ini hanya boleh berlaku jika AAX berjaya dalam penstrukturan semula mengikut syarat skim itu.

"Jika syarat skim berkenaan tidak dipatuhi dan gagal dilaksanakan, AAX akan dibubarkan dan pengguna tidak menerima sebarang kelayakan dan AAX memilih tidak meletakkan mereka dalam situasi ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

"Dasar AAX selaras dengan pengendali industri pelancongan di seluruh dunia dan mematuhi sepenuhnya semua keperluan kawal selia di setiap negara yang kami beroperasi," jelasnya.

Syarikat penerbangan itu menambah yang ia juga terus mengadakan dialog dengan semua pengawal selia pengguna di seluruh rantau ini untuk memastikan pematuhan dan perakuan ISO dalam pengurusan aduan pelanggan, yang menjadi penanda aras global untuk mengekalkan piawaian tertinggi. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 8:07 AM