Kuala Lumpur: AirAsia X (AAX) menyambung semula perkhidmatannya ke Shanghai, China dengan empat penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur yang bermula kelmarin.

Penerbangan sulung pascapandemik dari Kuala Lumpur berlepas dengan muatan penumpang yang menggalakkan, manakala penerbangan pertama dari Shanghai pada awal semalam mencatatkan muatan 373 tetamu, iaitu hampir 100 peratus.

Ini menunjukkan permintaan perjalanan ke luar negara yang ketara daripada pasaran China.

Berdasarkan permintaan menggalakkan dan pelonggaran sekatan kemasukan ke China, AAX merancang meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan ke Shanghai kepada 11 penerbangan mingguan menjelang suku kedua tahun ini, sama seperti kekerapan prapandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, penerbangan pertama AAX ke Shanghai adalah sedekad lalu, justeru syarikat berbesar hati kembali ke China dan meraikan penyambungan semula ini yang menjadi destinasi popular daripada segi sejarah perkhidmatan.

"Kami juga memulakan perkhidmatan penerbangan mingguan ke Hangzhou yang mencatatkan muatan 97 peratus ke Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, China antara satu daripada ekonomi utama dunia dan pembukaan semula penerbangan ke negara itu tanda positif bagi AAX dan industri pelancongan secara amnya.

Katanya, memandangkan China baru sahaja dibuka, proses pemulihan perkhidmatan penerbangan masih dalam tahap permulaan.

"Bagaimanapun, kami optimis permintaan perjalanan ke China kembali pulih ke tahap prapandemik dalam masa terdekat.

"Paling penting, kami melihat permintaan tinggi daripada pelancong China yang meningkatkan pemulihan dan memacu industri pelancongan tempatan di kedua-dua destinasi.

"Kami berharap memulakan semula lebih banyak penerbangan ke/dari China dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Tetamu yang ingin melakukan perjalanan penting ke Shanghai boleh menempah penerbangan melalui airasia Super App atau airasia.com dengan tambang termasuk semua daripada RM799 bagi tempat duduk ekonomi atau daripada RM2,299 bagi tempat duduk Premium Flatbed bagi perjalanan dari sekarang hingga 29 Oktober 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 7:00 AM