PESAWAT AirAsia.
PESAWAT AirAsia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: AirAsia X Bhd (AAX) memberi jaminan kepada penumpang yang terjejas oleh penstrukturan semula hutangnya yang ia akan menawarkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit, yang boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan pada masa hadapan sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula

AAX berkata, penumpang terjejas juga akan menerima pembayaran nilai hutang 0.5 peratus dan kelayakan berasaskan tunai lain berdasarkan prestasi hasil tahunan selama tiga tahun seperti yang dinyatakan dalam penyata penjelasan yang dihantar kepada semua pemiutang, baru-baru ini.

Syarikat penerbangan itu berkata demikian bagi menjelaskan laporan media mengenai klasifikasi pengguna dan kelayakan mereka di bawah Skim Pengaturan (skim) yang disokong oleh 99 peratus daripada semua pemiutang.

"Sila ambil maklum bahawa kelayakan dan kredit perjalanan ini hanya boleh berlaku jika AAX berjaya dalam penstrukturan semula mengikut syarat-syarat skim itu.

"Jika syarat-syarat skim berkenaan tidak dipatuhi dan gagal dilaksanakan, AAX akan dibubarkan dan pengguna tidak akan menerima sebarang kelayakan dan AAX memilih untuk tidak meletakkan mereka dalam situasi ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

"Dasar AAX adalah selaras dengan pengendali industri pelancongan di seluruh dunia dan mematuhi sepenuhnya semua keperluan kawal selia di setiap negara yang kami beroperasi," jelasnya.

Syarikat penerbangan itu menambah yang ia juga terus mengadakan dialog dengan semua pengawal selia pengguna di seluruh rantau ini untuk memastikan pematuhan dan perakuan ISO dalam pengurusan aduan pelanggan, yang menjadi penanda aras global untuk mengekalkan piawaian tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 2:22 PM