Trak yang digunakan sepanjang jerayawara “Bertambah-Tambah ke Hati” Lazada.
Trak yang digunakan sepanjang jerayawara “Bertambah-Tambah ke Hati” Lazada.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Trend membeli-belah secara dalam talian berada pada tahap yang memuaskan ketika peralihan kepada fasa endemik Covid-19 membolehkan ramai orang membeli-belah di kedai fizikal, kata Lazada Malaysia.

Ketua Pegawai Pemasarannya Schrene Goh berkata keyakinan Lazada terhadap pembelian dalam talian akan terus meningkat walaupun kedai dibuka sepenuhnya sejak 1 April 2022.

"Pandemik ini telah mendorong ramai pembeli untuk membuat pembelian dalam talian dan kini apabila negara menuju ke tahap endemik, orang ramai telah mula keluar untuk membeli barangan.

"Saya berpendapat sudah pasti trend ini kukuh," kata Goh selepas melancarkan jerayawara "Bertambah-Tambah ke Hati" anjuran Lazada di Menara UOA, Bangsar South, di sini, hari ini.

Dihoskan oleh DJ Ili Ruzanna, jerayawara itu akan singgah di beberapa bazar Ramadan dan kawasan tumpuan trak makanan di seluruh Lembah Klang.

Beberapa hentian akan dilakukan termasuk bazar Ramadan di Taman Tun Dr Ismail (22 April, 4 petang-7 malam), Uptown Jalan Reko, Kajang (23 April, 4 petang-7 malam), dan Santai Setia Alam (30 April, 8.45 malam-12 tengah malam) .

Goh berkata jerayawara tersebut bertujuan mendekatkan kedai dalam talian di aplikasi Lazada kepada rakyat Malaysia melalui pengalaman luar talian ke dalam talian yang menarik dan mengujakan.

Beliau berkata pengguna mengharapkan penyepaduan lancar kedai runcit fizikal dan perdagangan digital dalam era runcit omnichannel (pelbagai saluran) ketika ini.

"Ini adalah cara terbaik untuk menyepadukan pelanggan kerana kami mahu pelanggan mengalami perkara sebenar, menyentuh, merasa dan pada masa yang sama, masih membeli-belah dan mendapatkan semua penghantaran percuma dan diskaun yang ditawarkan dalam talian, ia adalah tawaran yang terbaik.

"Kami mahu memastikan orang ramai dapat menikmati kehidupan yang bersepadu hari ini," kata Goh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 5:39 PM