ShopeePay memperkenalkan ciri baharu Deals Near Me.
ShopeePay memperkenalkan ciri baharu Deals Near Me.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Shopee menerusi dompet mudah alihnya, ShopeePay memperkenalkan ciri baharu Deals Near Me yang membolehkan pengguna aplikasi terbabit melakukan aktiviti membeli-belah di kedai luar talian secara efisien.

Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, ciri baharu itu juga memperkenalkan pengguna tawaran terbaik sedia ada di kawasan berhampiran mereka sempena kempen Raya Bersama Shopee yang sedang berlangsung hingga 14 Mei ini.

Katanya, Deals Near Me adalah salah satu ciri dalam talian ke luar talian (O2O) yang menggunakan perkhidmatan berasaskan lokasi.

"Melalui Deals Near Me, perniagaan luar talian (offline) seperti kafe, restoran dan penyedia perkhidmatan boleh menawarkan diskaun mereka dalam bentuk baucar ShopeePay kepada pelanggan berdekatan.

"Pengguna juga boleh membeli baucar dengan mudah di aplikasi Shopee dan menebusnya serta-merta di kedai yang mengambil bahagian untuk menikmati pulangan tunai menarik apabila mereka membayar dengan ShopeePay.

"Baucar ini akan membantu kedai offline menarik perhatian pengguna yang lazimnya gemar membeli-belah dalam talian.

"Pandemik Covid-19 meninggalkan impak kepada tabiat berbelanja dan cara membeli-belah rakyat Malaysia.

"Oleh itu, penting bagi peniaga offline untuk memikirkan cara baharu menarik minat pelanggan ini untuk memasuki premis perniagaan mereka," katanya di majlis pelancaran kempen Raya Bersama Shopee dan pengenalan Deals Near Me ShopeePay secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Kanan (Pemasaran), Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Sejak 1 April, ciri baharu itu sudah membawa lebih daripada 100,000 pelanggan kepada 130 peniaga awal yang menggunakan Deals Near Me.

Antara kedai terlaris adalah MR DIY, Tealive dan The Black Whale.

ShopeePay turut memperkenalkan baucar khas Ramadan yang akan dipromosikan pada tiga waktu berbeza iaitu Sahur Specials jam 5 pagi, Jom Berbuka dengan ShopeePay (12 tengah hari) dan Moreh Specials 10 malam.

Sementara itu, sempena kempen Raya Bersama Shopee pengguna ditawarkan penghantaran percuma tanpa perbelanjaan minimum dan serendah RM1.

Pengguna juga boleh menikmati dua hari membeli-belah yang sangat istimewa iaitu Jualan Hebat Raya pada 23 April dan Pesta Jualan Raya 5 Mei ini, yang menawarkan promosi menakjubkan kepada rakyat Malaysia serta diskaun hingga 80 peratus untuk peralatan rumah, perabot, pakaian serta hiasan sebagai persiapan untuk Hari Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:01 AM