Lizam Ridzuan


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April hadapan, adalah langkah terbaik untuk Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan bilik pameran atas talian untuk kekal berurusniaga.

Melalui konsep membawa ‘pengedar’ bertemu dengan pelanggan hanya melalui hujung jari, Volkswagen eShowroom menyediakan pelbagai tawaran menarik termasuk di laman membeli-belah atas, Lazada.

Pengarah Urusan VPCM Erik Winter berkata sebagai mengekalkan jarak sosial selamat untuk pelanggan dan pekerja maka langkah ini harus diambil dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Laman atas talian ini disediakan buat pengguna yang masih berminat untuk membeli kenderaan Volkswagen dalam tempoh PKP yang mana memudahkan serta tawaran yang menarik disediakan” katanya dalam kenyatan akhbar hari ini.

Sepanjang April, Volkswagen eShowroom dan Lazada menawarkan penjimatan sebanyak RM4,500 hingga RM8,000 daripada harga jualan, tertakluk kepada model yang ditawarkan di negara ini.

Model Polo dan Vento Highline menerima penjimatan atas talian sebanyak RM1,500 dengan tambahan RM3,000 sebagai tawaran standard menjadikan jumlah penjimatan keseluruhan sebanyak RM4,500.

Selain itu Vento Comfortline sebanyak RM7,500 serta model Beetle dan Golf GTI dan R menerima penjimatan terbanyak iaitu RM8,000.

Untuk pembelian Tiguan dan Passat Elegance jumlah penjimatan sebanyak RM6,000 ditawarkan termasuk insurans percuma selama setahun dan rebat petrol (Tiguan).

Tawaran penjimatan harga ini sah untuk kenderaan Volskwagen yang ditempah dari 1 hingga 30 April 2020 dan untuk Lazada, fi tempahan satu peratus diperlukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 9:57 AM