TAN (dua dari kanan) bersama Ressel (dua dari kiri) dan Lee (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran ‘Unbox The Wonders of Home’ semalam.
TAN (dua dari kanan) bersama Ressel (dua dari kiri) dan Lee (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran ‘Unbox The Wonders of Home’ semalam.
Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (SME) terus menunjukkan komitmen meneroka peluang perniagaan sedia ada dengan memperkenalkan konsep portal-dalam-portal yang pertama di Asia Tenggara, hasil kerjasama dengan portal beli-belah dalam talian terkenal, Lazada.

Ketua Bahagian Perniagaan Pengguna Elektroniknya, Jimmy Tan berkata, inisiatif itu membawa syarikatnya bergerak ke hadapan, selain berusaha memanfaatkan peluang sedia ada bagi memberi kemudahan kepada pelanggan di Malaysia.

“Kini, ramai pengguna celik teknologi dan lebih gemar berbelanja secara dalam talian berbanding menghabiskan masa untuk memandu ke pusat beli-belah, bersesak dengan orang ramai dan seterusnya beratur mendapatkan barangan yang diperlukan.

“Malah, kami juga menyaksikan peningkatan 45 peratus dalam aktiviti membeli-belah melalui peranti mudah alih bagi kawasan luar bandar.

“Justeru, kami yakin Lazada adalah platform dalam talian terbaik untuk mempamerkan peralatan rumah Samsung dan sebagai saluran ideal untuk kami mendekati pelanggan setia dan berpotensi di seluruh negara,” katanya selepas majlis pelancaran ‘Unbox the Wonders of Home’, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden SME, Lee Sang Hoon dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel.

Tambahnya, melalui jalinan kerjasama itu, pelanggan berpeluang merasai suasana membeli-belah dalam talian bagi mendapatkan produk keluaran Samsung sambil menikmati penjimatan harga berbanding berbelanja dengan cara konvensional.

Beliau berkata, dengan pengenalan konsep itu, ia berupaya menjangkau kumpulan pelanggan dengan luas, tetapi mampu menjadi landasan menyampaikan informasi mengenai promosi terbaru dan berkongsi maklumat berkaitan produk dengan lebih tepat.

Mengulas pelancaran itu, Jimmy berkata, dengan setiap pembelian produk Samsung di Lazada bermula 11 November sehingga 31 Januari depan, pelanggan berpeluang membawa pulang hadiah menarik, menikmati rebat tunai sehingga 30 peratus serta jaminan dua tahun untuk produk elektronik merangkumi peti sejuk, mesin basuh, penghawa dingin, SUHD TV, SoundBar dan pemain Blu-Ray.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 12:36 PM