SULTAN Sallehuddin bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Kedah ke-14. FOTO ihsan SUK
SULTAN Sallehuddin bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Kedah ke-14. FOTO ihsan SUK
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kejayaan Kedah menarik pelaburan berjumlah RM68.3 bilion sepanjang tahun lalu, yang menjadi rekod tertinggi pernah dicatat kerajaan negeri, diharap turut dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya.

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, kejayaan yang dicapai hasil kerjasama erat kerajaan negeri bersama agensi tempatan serta pemain industri membuktikan negeri ini sentiasa menjadi destinasi pilihan pelabur.

Baginda bertitah, dengan jumlah pelaburan besar yang dicapai, ia diharap dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Kedah agar setanding negeri maju lain di negara ini.

"Di sebalik krisis pandemik Covid-19, beta berbangga kerana Kedah berjaya mencatat pelaburan berjumlah RM68.3 bilion bagi tahun 2021, yang merupakan satu sejarah dan rekod baharu, untuk jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini.

"Kejayaan ini, adalah hasil jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation, Invest KedahBerhad dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain industri dalam menarik pelaburan luar ke Kedah.

"Pelaburan ini melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang menyasarkan pelaburan sebanyak RM10 bilion setahun.

"Usaha berterusan harus digandakan agar pelaburan masuk dapat ditingkatkan di Bandar Getah Kedah (KRC), Zon Ekonomi Khas Sempadan Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industeri Gurun dan Kedah Aerotropolis," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14, di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, kerajaan negeri diharap dapat terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.

"Beta juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang terus membantu Kedah dalam menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan utiliti kepada rakyat.

"Antaranya adalah seperti pemulihan aktiviti ekonomi tempatan, pembinaan rangkaian jalan raya, menaik taraf jalan raya dan jambatan, rancangan tebatan banjir, naik taraf sistem saliran dan loji rawatan air serta projek pembaikan paip dasar laut," titah baginda.

Baginda bertitah, nasib rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 harus terus dibela melalui pelaksanaan pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.

"Justeru, Beta menyeru Ahli Yang Berhormat dan semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya lebih pro-aktif dalam menyelami isu rakyat dari dekat dan memantau pencapaian program yang dilaksanakan.

"Kerajaan negeri juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan dan menaiktaraf pembangunan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar, bagi memperkasa pembentukan eko-sistem ekonomi digital yang lebih baik ke seluruh daerah," titah baginda.

Pada masa sama, baginda berharap pemulihan industri pelancongan dapat dilakukan segera selepas penutupan pintu sempadan dan sekatan perjalanan akibat Covid-19, memberi impak ketara apabila kedatangan pelancong tahun lalu, menurun sehingga 71.5 peratus berbanding 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 12:17 PM