GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik peruntukan RM9.4 bilion dalam pembentangan Belanjawan 2021 sebagai usaha membangunkan strategi digital nasional yang holistik merentasi industri dan rakyat.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu memberi tumpuan khusus kepada usaha merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi lebih baik menerusi Program Jaringan PRIHATIN dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion dapat dimanfaatkan lapan juta golongan B40.

"Bantuan ini dapat mengurangkan beban kewangan mereka dalam mendapatkan kemudahan Internet. Mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

"Ini ditambah pula dengan sumbangan daripada pihak industri sebanyak RM1.5 billion untuk golongan sasaran yang sama," katanya.

Menurutnya, program dan inisiatif yang dirangka selaras dengan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi menjadikan Internet sebagai utiliti ketiga selepas kemudahan air dan elektrik.

"Di bawah pelan JENDELA, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi 2021 bertujuan memastikan kesalinghubungan kepada 430 sekolah di seluruh negara.

"Sejumlah RM42 juta turut diperuntukkan bagi menambah baik kesalinghubungan Internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarik pelaburan di bawah pelan yang sama.

"SKMM pula memperuntukkan RM7.4 billion bagi 2021 dan 2022 demi memperluas perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar di samping pelaburan pihak industri yang setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar," katanya.

SKMM berkata, fasa satu JENDELA yang sudah pun bermula dan berterusan sehingga akhir 2022 akan memberi fokus dalam memperluas akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada 7.5 juta premis, melebarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.

"Fasa satu JENDELA juga akan mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G selaras dengan memperkukuhkan rangkaian asas bagi 5G.

"Fasa dua pula akan selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kerjasama serta sokongan padu dari pihak negeri amatlah penting bagi memastikan perancangan ini berjaya dilaksanakan," katanya.

Katanya, segala usaha ini bukan hanya mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara, malah ianya pasti akan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar serta memberi lebih manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 12:39 PM