FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dijangka dapat disiapkan menjelang 2026 dengan kerja fasa pertama projek bernilai RM6 bilion berkenaan akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata KXP dijangka membawa perubahan besar dalam lanskap ekonomi negeri termasuk pelaksanaan beberapa projek sokongan.

Jelasnya, KXP juga akan memainkan peranan dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau termasuk sebagai hab industri halal dan e-dagang, produk farmasi dan pelbagai kategori kargo.

"Beberapa projek dijangka menyusul membabitkan pembangunan infrastruktur utama iaitu Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) bagi laluan antara Bandar Baharu ke Sungai Petani melalui KXP.

"Selain itu, turut bakal dibina adalah akses baharu Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Tikam Batu serta kerja menaik taraf laluan keluar masuk ke Sungai Petani.

"Terdapat juga cadangan penjajaran baharu kereta api dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Sungai Petani," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings memeterai perjanjian usahasama bersama Kumpulan ECK yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Dr Khor Eng Chuen.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya optimis KXP mampu menjana peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah yang diunjurkan mencapai 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus ketika ini.

"Lapangan terbang ini akan dijadikan hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah rantau Asia Tenggara.

"Bagi meningkatkan daya ekonomi rakyat, KXP bakal menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan secara langsung untuk diisi penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri setuju menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) yang akan bertindak sebagai pemilik serta pemaju projek KXP.

Katanya, SPV itu membabitkan 80 peratus pegangan ekuiti dimiliki ECK dan bakinya dipegang kerajaan negeri melalui syarikat subsidiari Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), KXP AirportCity Holdings.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:00 PM