GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Program Jaringan Prihatin yang menelan belanja RM1.5 bilion bakal dimanfaatkan oleh lapan juta penduduk yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah B40.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, ia akan mengurangkan bantuan kewangan rakyat dalam mendapatkan kemudahan internet apabila setiap seorang akan menerima RM180 untuk dibelanjakan.

"Ia boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

"Ia ditambah sumbangan RM1.5 bilion daripada pihak industri kepada golongan sasaran yang sama," katanya.

SKMM berkata, peruntukan RM9.4 billion dalam Belanjawan 2021 untuk membangunkan strategi digital nasional yang holistik merentasi sektor industri dan rakyat.

Ia juga selaras dengan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga yang sama seperti kemudahan air dan elektrik.

"Di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) pula kerajaan memperuntukkan sejumlah RM500 juta untuk memastikan kesalinghubungan dengan 430 sekolah seluruh negara bagi pembangunan generasi akan datang.

"Sebanyak RM42 juta akan diperuntukkan bagi menambah baik internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarik pelabur di bawah pelan yang sama.

"SKMM akan memperuntukkan RM7.4 bilion bagi tahun 2021 dan 2022 untuk perluasan perkhidmatan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar. Industri bakal melabur di kawasan bandar dan pinggir bandar," katanya.

Kata SKMM, fasa satu Jendela sudah bermula dan akan memberi fokus kepada usaha akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada 7.5 juta premis, melebar liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus, mempertingkat jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta menamatkan rangkaian 3G secara berperingkat selaras perkukuh rangkaian 5G.

"Fasa dua pula akan diselaras dengan Perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:26 AM