TAHUN 2022 akan menjadi kebangkitan semula industri automotif dengan pelancaran banyak model baharu.
TAHUN 2022 akan menjadi kebangkitan semula industri automotif dengan pelancaran banyak model baharu.

AMiNVESTMENT Bank Bhd (AmInvestment) menjangka 2022 akan menjadi tahun kebangkitan semula industri automotif dengan pelancaran banyak model baharu.

Firma penyelidikan itu berkata, beberapa model baharu akan dilancarkan tahun depan selepas tertangguh lama disebabkan kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan pada 2021.

Katanya, antara model baharu yang dijangka bakal dilancar tahun depan adalah Honda Civic, Peugeot 2008, Kia Sportage dan Perodua Alza yang lama dinantikan berada di pasaran.

"Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) diunjur akan disokong oleh model yang dilancarkan, baru-baru ini, seperti Perodua Myvi diperbaharui dan Honda City Hatchback.

"Antara syarikat yang dipantau, Bermaz Auto Bhd (BAuto) mempunyai senarai pelancaran baharu yang paling mantap dengan 20 model ditetapkan untuk diperkenalkan pada 2022.

"Ini akan menyumbang kepada aliran jualan yang lebih konsisten dan boleh diramal untuk syarikat itu," kata AmInvestment dalam kenyataan.

Ia berkata, dalam langkah perniagaan menuju ke arah normalisasi, pembukaan semula ekonomi memberi manfaat kepada industri automotif yang kehilangan daya tarikan sejak pandemik melanda.

Katanya, pendapatan industri automotif dijangka meningkat semula pada 2022 berikutan permintaan untuk kereta baharu disokong oleh lanjutan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022.

Dalam masa sama, AmInvestment berkata, pengecualian cukai akan turut meningkatkan keyakinan pengguna seiring dengan pemulihan ekonomi.

"Unjuran ini berdasarkan jangkaan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga menunjukkan kejayaan apabila 97.5 peratus penduduk dewasa menerima vaksin diikuti dengan trend penurunan kes Covid-19," katanya.

AmInvestment berkata, kadar pembiayaan yang rendah turut akan menyokong pembelian kenderaan.

Katanya, berdasarkan unjuran firma penyelidikannya, kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal 1.75 peratus pada separuh pertama 2022 dan hanya berpotensi untuk dinaikkan semula sebanyak 25 mata asas (bps) pada separuh kedua 2022 atau suku keempat 2022.

"Kadar faedah yang rendah akan kekal kondusif untuk pengguna mendapatkan pembiayaan kenderaan bagi pembelian kereta penumpang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:00 AM