GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Putrajaya: Seramai 1.87 juta orang atau 37.7 peratus pekerja dengan pencapaian kelulusan tinggi bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau menjelaskan, ia adalah cabaran dan isu struktur yang perlu ditangani bagi memastikan keupayaan pertumbuhan ekonomi pasca-Covid-19 selepas negara mencatatkan peningkatan berterusan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sejak suku ketiga 2020.

"Isu struktur ini boleh dikaitkan dengan kekurangan permintaan buruh dalam kategori pekerjaan mahir. Hal ini menunjukkan industri berdepan dengan kekangan untuk menyerap penawaran buruh yang berpendidikan tinggi mendapatkan pekerjaan setara dengan latar belakang pendidikan mereka," katanya ketika berucap merasmikan Forum Pasaran Buruh 2021 dengan tema Menstabilkan Pasaran Buruh Ke Arah Merangsang Semula Ekonomi secara maya semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzir berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada 2020 menjejaskan kedudukan pasaran buruh global dan Malaysia turut tidak terkecuali.

"Terkini, pasaran buruh negara mula menunjukkan trend pemulihan dengan merekodkan kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu 4.3 peratus pada Oktober 2021 dengan bilangan penganggur seramai 705,000 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 8:57 AM