PROTON X50 terjual sebanyak 3,839 unit.
PROTON X50 terjual sebanyak 3,839 unit.

PROTON sudah melepasi jumlah jualan tahunan setakat ini berbanding tahun lepas apabila menjual 13,362 unit pada Oktober 2021.

Ia menjadikan jualan terkumpul kini 86,379 unit atau peningkatan 1.6 peratus daripada jualan 10 bulan pertama 2020 iaitu 84,999 unit.

Menurut Proton, pencapaian itu melangkaui prestasi jumlah jualan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan yang menurun 4.7 peratus walaupun dengan jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada Oktober untuk tahun 2021.

Unjuran pegangan pasaran bagi bulan itu 20.5 peratus manakala pegangan pasaran bagi tempoh sama berbanding tahun lepas adalah 22.7 peratus.

"Proton Saga terus menerajui pencapaian jualan dengan 5,107 unit dijual pada Oktober menandakan sudah tiga kali model itu melepasi jualan melebihi 5,000 unit tahun ini.

"Dalam tempoh sama berbanding tahun lepas, Saga kekal peneraju jualan bagi sedan segmen-A yang tidak boleh dipertikaikan dan pilihan pembeli yang mahukan kereta mampu milik dengan ciri terkini dan ada dinamik perlumbaan yang terbukti," menurut Proton dalam satu kenyataan.

Katanya, dua lagi peneraju jualan syarikat ialah model SUV (kenderaan utiliti sukan), iaitu Proton X50 dan Proton X70.

"SUV segmen-B Proton X50 beroleh kejayaan terbaik bulan lepas sejak pelancarannya dengan jualan sebanyak 3,839 unit. SUV lebih besar, Proton X70 mengekalkan momentum dengan jualan 2,165 pada Oktober, hasil terbaik sejak Mac tahun ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata, jualan Proton pada Oktober boleh disimpulkan sebagai permintaan daripada pelanggan yang tinggi dan potensi jualan yang belum direalisasikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 7:30 AM