SUV Proton X70 paling popular pada November.
SUV Proton X70 paling popular pada November.
Lizam Ridzuan


PROTON Holdings Berhad mencatatkan peningkatan jualan pada November lalu dengan jualan sebanyak 11,411 unit, 18 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, ia menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan Proton sebanyak 96,410 unit pada 2020 yang juga penambahan sebanyak 7.5 peratus dan penguasaan pasaran sekitar 20.1 peratus.

"Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding Oktober, namun penghantaran Proton X50 sebanyak 1,756 kepda pembeli menjadikannya kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B paling laris di Malaysia.

"Ia secara tidak langsung menjadikan Proton sebagai pendahulu dalam segmen SUV selepas X70 mencatatkan jualan sebanyak 2,157 unit dalam bulan sama," katanya.

Menurutnya, pengeluaran keseluruhan industri (TIV) dianggarkan melebihi 56,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut yang juga melebihi jangkaan pada awal tahun.

Malah, tawaran akhir tahun serta insentif Penjana dengan pengecualian cukai jualan dan pelancaran model baru Proton X50 memberi impak positif kepada angka jualan Proton.

"Proton akan menumpukan kepada kualiti produk dan khidmat pelanggan untuk pengalaman pemilikan yang terbaik.

"Meskipun kadar penghantaran model X50 belum mencapai tahap maksimum namun kami sentiasa memastikan pelanggan menerima produk berkualiti dan jumlah pengeluaran akan ditingkatkan bagi mengurangkan tempoh menunggu," katanya.

Untuk November, model Proton paling laris adalah Saga dengan jualan sebanyak 4,279 unit diikuti Persona (1,942), Exora (629) dan Iriz (637).

Dalam pada itu, menurutnya pandemik Covid-19 memberi kesan kepada perancangan syarikat namun pada akhir November jumlah eksport melebihi jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

"Ia juga akan menjadi tunggak utama pada 2021 dan seterusnya ekoran prestasi pasaran tempatan semakin stabil dan usaha kini tertumpu kepada menjadikan Proton sebagai jenama automotif serantau dan global.

"Apabila jumlah eksport meningkat, komuniti vendor tempatan juga menerima manfaat dan kami akan membuat lebih banyak pengumuman untuk aktiviti pasaran luar negara pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:59 PM