BKC  adalah antara  bantuan yang  disalurkan  kepada rakyat sehingga penghujung 2021.
BKC adalah antara bantuan yang disalurkan kepada rakyat sehingga penghujung 2021.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

BANTUAN Khas Covid-19 (BKC) adalah sebahagian daripada pelbagai bantuan lain yang disalurkan secara berterusan kepada rakyat sehingga penghujung 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan tunai disediakan kerajaan sehingga kini kepada hampir 10 juta penerima adalah berjumlah RM12.3 bilion.

"Mengambil kira keseluruhan pembayaran BKC, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan BPR Tambahan, bantuan tunai disediakan sehingga kini untuk hampir 10 juta penerima mencecah RM12.3 bilion.

"Jangkaan baki pembayaran BPR (Fasa 3 dan rayuan), BKC (Fasa 2 dan Fasa 3) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) pada September hingga Disember 2021 dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion.

"Secara keseluruhannya, peruntukan RM17.1 bilion telah disediakan kerajaan tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan BKP yang telah dan akan disalurkan kepada penerima layak," katanya dalam Laporan Laksana ke-67, semalam.

Menurutnya, kerajaan ketika ini berusaha mengukuhkan ketahanan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan awam untuk menangani pandemik pada masa hadapan di samping bersedia berhadapan cabaran jangka panjang populasi yang semakin menua dan penyakit tidak berjangkit.

Beliau berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah pendekatan komprehensif untuk memulihkan keyakinan rakyat di samping membenarkan ekonomi dibuka dengan selamat.

PPN katanya menilai kesediaan negara mengurangkan sekatan secara holistik, mengambil kira keperluan untuk pelbagai aspek pemulihan.

Katanya, imunisasi penduduk Malaysia adalah kunci bagi pemulihan ekonomi Malaysia dan dijangka mencapai 100 peratus vaksinasi penuh pada akhir Oktober ini.

Tengku Zafrul berkata, kegawatan ekonomi tidak memberi kesan sama kepada semua rakyat dan rakyat juga tidak mampu memikul beban menanggung kesan paling teruk.

"Justeru, komponen penting dalam agenda pemulihan PPN dan Bajet 2022 adalah ekonomi. Dalam jangka masa terdekat, sektor paling teruk dan isi rumah paling terjejas akan dibantu. Tonggak utama pemulihan ekonomi adalah penciptaan pekerjaan.

"Bajet 2022 juga dikonseptualisasikan sebagai belanjawan pemulihan bagi melengkapkan usaha reformasi jangka panjang kerajaan di bawah RMKe-12," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sejajar semangat #KeluargaMalaysia juga, institusi kewangan pembangunan (DFI) turut disaran memberikan sokongan penuh di dalam tempoh pemulihan ekonomi negara ini.

Beliau berkata, antara sokongan yang perlu diberikan DFI adalah dari segi pembiayaan untuk memulih dan memelihara perniagaan serta menyediakan pelbagai peluang pekerjaan yang menyokong kehidupan rakyat secara langsung.

Katanya, sokongan segera dari pihak DFI bagi menghindari impak jangka panjang ini terutama diperlukan bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di dalam sektor strategik seperti sektor pertanian, pembangunan infrastruktur, aktiviti maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif.

"DFI memainkan peranan strategik dan penting dalam merangka strategi pemulihan ekonomi negara bersepadu, dengan menyumbang kepada usaha kritikal memulih dan memelihara kapasiti perniagaan, selaras objektif penubuhannya sebagai instrumen penting pembangunan sosioekonomi rakyat.

"Sehubungan itu, DFI disaran merangka penyelesaian praktikal seperti pembiayaan yang tidak membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:01 AM