Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 3.6 juta individu yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah B40 dan mereka yang telah lulus rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan menerima pembayaran Fasa 3 mulai Selasa ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran itu membabitkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, sebanyak RM9.6 bilion telah diperuntukkan untuk BPR yang memanfaatkan 8.5 juta penerima bagi 2021.

"Selain BPR, masih terdapat bantuan tunai lain iaitu Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Oktober hingga Disember 2021.

"Kesemua bantuan tunai yang diperuntukkan kerajaan ini termasuk BPR sehingga hujung tahun 2021 bernilai RM17.1 bilion dan dijangka memanfaatkan lebih 10 juta penerima.

"Untuk BPR Fasa 3, setiap penerima bakal menerima sehingga RM1,400 manakala, penerima bayaran Rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 mengikut kategori kelayakan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pembayaran ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dalam meringankan beban mereka yang masih terkesan akibat Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Dari aspek perlindungan sosial jangka panjang, pelan Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) juga sedang meneroka langkah-langkah untuk meningkatkan liputan dan kecukupan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan serta kemampuan dalam memperbaiki taraf hidup mereka.

"Aspek jaringan keselamatan sosial terutamanya untuk golongan rentan juga akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 5:42 PM