Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Selama 100 hari Kementerian Kewangan (MoF) menjalankan tugas, kerajaan telah berjaya memberi talian hayat kepada 11 juta Keluarga Malaysia.

Ia meliputi pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

Selain itu, 1.9 juta pekerja dibantu melalui Program Subsidi Upah (PSU) serta sejuta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibantu melalui Geran Khas Prihatin (GKP).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keutamaan MOF adalah memastikan kesejahteraan rakyat, ketahanan perniagaan dan kemakmuran ekonomi.

"Program yang telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat ini termasuklah membantu aliran tunai PMKS dengan sejumlah RM3.3 bilion telah disalurkan melalui PSU yang telah memanfaatkan lebih dari 180,000 majikan, dan 1.9 juta pekerja.

"Ia akan berakhir pada bulan ini. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, sejumlah RM19.453 bilion telah diperuntukkan melalui PSU.

"Sehingga kini program ini telah memanfaatkan lebih dari 357,102 majikan, dan 2.9 juta pekerja.

"Malah, sejumlah RM1 bilion telah disalurkan melalui GKP bagi memanfaatkan sejuta PMKS yang layak," katanya dalam Laporan Laksana ke-78 hari ini.

Menurutnya, melalui penyaluran bantuan tunai kepada Keluarga Malaysia, setakat November 2021, sejumlah RM8.8 bilion telah disalurkan melalui BPR, BKC dan BKP yang telah memanfaatkan 11 juta penerima.

"Terdapat RM1.2 bilion lagi akan disalurkan pada Disember 2021 di bawah BKC Fasa 3 untuk penerima yang layak," katanya.

Selain itu, menurutnya kerajaan turut menyediakan Bajet 2022 dengan pendekatan yang menyeluruh.

"Ia antara lain membabitkan peningkatan siling Kumpulan Wang Covid-19 (KWC) kepada RM110 bilion, di mana Rang Undang-undang (RUU) pindaan akta itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

"Tambahan lagi, had statutori pinjaman Kerajaan Persekutuan ditingkatkan kepada 65 peratus. Bagi RUU ini, Pindaan Akta telah diwartakan pada 17 Oktober 2021 melalui Akta A1635.

"RUU Perbekalan 2022 (Bajet 2022) untuk peringkat Dasar telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2021, dan kini sedang dalam proses perbahasan di peringkat jawatankuasa yang dijangka selesai pada 13 Disember 2021 sebelum di bawa ke Dewan Negara," katanya.

Katanya, antara kejayaan terbesar setakat ini adalah kelulusan untuk meningkatkan siling KWC dan had hutang statutori, serta kelulusan RUU Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Peringkat Dasar.

"Semua kelulusan ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan perancangan yang telah diatur bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan perniagaan bagi memacu pemulihan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:12 PM