Bisnes HM

Kuala Lumpur: Penyedia perkhidmatan jalur lebar, unifi, menawarkan 13 saluran berdefinisi tinggi (HD) secara percuma bersempena dengan Kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula 23 Julai hingga 8 Ogos.

Unify dalam kenyataan hari ini berkata, pelanggan boleh menonton kesemua 33 jenis sukan dan 339 acara menerusi unifi TV dan aplikasi unifi PlayTV.

Ketua Pegawai Komersial Telekom Malaysia, Anand Vijayan berkata, sebagai salah satu penyiar rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020, unifi berbesar hati menawarkan siaran secara percuma untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

"Bagi yang masih belum melanggani unifi TV, mereka boleh menonton temasya sukan berprestij itu secara percuma di aplikasi unifi PlayTV dengan memuat turun aplikasi berkenaan dari Google PlayStore dan Apple App Store.

"Pengguna aplikasi unifi PlayTV sedia ada hanya perlu log masuk untuk menikmati temasya sukan Olimpik itu di aplikasi itu manakala pengguna unifi PlayTV baharu hanya perlu mendaftar akaun baharu untuk menontonnya di mana sahaja dan pada bila-bila masa menerusi peranti pintar mereka secara percuma," katanya.

Sepanjang temasya Sukan Olimpik, pelanggan unifi boleh menonton kesemua 33 jenis sukan dan 339 acara di 13 saluran unifi Sports HD iaitu unifi Sports 1 HD (Saluran 701) hingga unifi Sports 5 (Saluran 705) serta unifi Sports 6 HD (Saluran 709) hingga unifi Sports 13 HD (Saluran 716).

Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung selama 17 hari bermula dengan acara pembukaan semalam.

Ia adalah temasya sukan yang amat dinantikan kerana membabitkan lebih 200 negara yang akan bertanding dalam 33 jenis sukan menerusi 339 acara, 50 disiplin yang akan dilangsungkan di sekitar 42 lokasi acara di Jepun, menjadikannya sebagai ibu kota pertama di Asia yang menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 2:16 PM