TOMOYUKI memaklumkan Mitsubishi XPANDER terus mendominasi segmen MPV.
TOMOYUKI memaklumkan Mitsubishi XPANDER terus mendominasi segmen MPV.

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan jenama Mitsubishi Motors di Malaysia merekodkan prestasi jualan bulanan tertinggi dalam sejarah apabila menjual 1,872 unit pada April lalu.

MMM dalam satu kenyataan berkata, prestasi jualan bagi bulan dikaji adalah kesinambungan momentum sejak Januari lalu dan mengukuhkan kedudukan antara tiga jenama utama dalam segmen bukan jenama nasional bagi empat bulan berturut-turut.

"Model Mitsubishi XPANDER terus mendominasi segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) bukan nasional sejak Januari lalu dan terus mencatatkan jumlah jualan kukuh dengan lebih 10,000 unit ditempah sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

"Bagi bulan dikaji, XPANDER menyumbang 982 unit merangkumi 52 peratus daripada jualan keseluruhan April. MMM sudah menyerahkan 3,800 unit kepada pembeli di seluruh negara," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata, prestasi jualan XPANDER yang kekal positif dengan permintaan ke atas model itu mendahului jumlah unit yang dibekalkan.

"Walaupun berdepan cabaran susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau PKP Bersyarat (PKPB), kami akan meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan kukuh XPANDER dengan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan dalam masa sama mengekalkan kualiti produk pada tahap tertinggi," katanya.

Sementara itu, trak pikap Mitsubishi Triton juga mengekalkan penguasaan pasaran yang kukuh iaitu hampir 20 peratus dan kekal sebagai pilihan dalam segmen berkenaan.

MMM menjual 680 Triton pada April lalu dan menyerahkan 142 Triton Athlete baharu kepada pelanggan.

"Walaupun terdapat penurunan dalam kebanyakan sektor ekonomi dan sentimen juga mula mempengaruhi orang ramai akibat pandemik, kami lega melihat penjualan kami tetap optimis dan terus bergerak ke arah positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 7:30 AM