MITSUBISHI Xpander
MITSUBISHI Xpander
Oleh Lizam Ridzuan


MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) pengedar utama kenderaan Mitsubishi di negara ini mengumumkan jumlah tempahan model Xpander Baharu melebihi jumlah pengeluaran untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata, model crossover tujuh tempat duduk itu menerima sambutan menggalakan dan mereka yang menempah selepas tempoh ini hanya akan menerima kenderaan pada 2021 serta tertakluk kepada cukai jualan.

"Serahan kepada pembeli awal kini sudah dimulakan dengan pratempahan mencatatkan sebanyak 3,000 unit.

"Kami berterima kasih kepada pembeli dan percaya Xpander akan menjadi model penting dalam peningkatan jumlah jualan syarikat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Melalui perkembangan lain, model Xpander kini boleh dipandu uji di semua ruang pameran Mitsubishi Motors di seluruh negara.

Model ini adalah pemasangan tempatan (CKD) dari Pekan, Pahang dan menampilkan rekaan luaran yang sporty serta ciri ruang dalaman praktikal.

Ia dikuaskan dengan enjin enjin 1.5 liter MIVEC yang menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141Nm pada 4,000 rpm serta transmisi automatik empat kelajuan.

Sistem keselamatan dilengkapi dengan dua beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Sistem Bantuan Brek (BA), Bantu Permulaan Bukit (HSA).

Untuk pasaran Malaysia, ia hanya didatangkan dengan satu varian serta empat pilihan warna iaitu Kelabu Titanium Metalik, Hitam Berlian, Putih Quartz dan Merah Metalik.

Mitsubishi Xpander dijual pada harga RM91,359 (atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan).

Ia mula diperkenalkan untuk pasaran Indonesia pada 2017, yang kemudian memasuki pasaran Thailand, Filipina dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:01 AM