Lizam Ridzuan


MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di negara ini memperkenalkan model Triton Quest baru untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Kewangan MMM Hidehiko Amano berkata, model trak pikap dengan jarak kelegaan jalan yang lebih rendah itu menjadikan ia pemanduan seakan sedan serta fungsi serba boleh terutama kemudahan kemasukan barangan lebih mudah.

“Sebagai salah satu varian Triton di negara ini, ia dilengkapi enjin 2.5 liter DI-D Common Rail Turbo diesel yang menjana kuasa 110PS dan tork maksimum 200Nm dengan radius pusingan 5.7 meter bagi kelancaran pergerakan pada jalan yang sempit atau sesak,” katanya ketika majlis pelancaran di Central i-City, Shah Alam hari ini.

Selain kapasiti muatan besar sehingga 970 kilogram (kg), reka bentuk J-Line adalah untuk keseimbangan bagi keselesaan dalam kabin dan ruang muatan yang terbesar dalam kelasnya.

Mitsubishi Triton Quest dilancarkan hari ini. Foto Eizairi Shamsudin
Mitsubishi Triton Quest dilancarkan hari ini. Foto Eizairi Shamsudin

Triton Quest baru ini juga dengan bampar hadapan signatur ‘Dynamic Sheild’ Mitsubishi, dilengkapi pelbagai ciri keselamatan terbaik seperti beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Daya Membrek Elektronik (EBD) serta binaan badan teguh melalui teknologi Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).

Triton Quest dijual pada harga RM79,890 dengan lima tahun waranti atau 100,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

MMM dalam majlis yang sama turut memperkenalkan dua varian iaitu Triton Adventure X yang diperbaharui dengan monitor kawalan penuh, perakam video memandu (DVR) serta rekaan grafik pelekat sisi yang sporty dan lapisan keselamatan haba dan solar premium untuk keselesaan kabin.

Untuk Triton AT Premium pula menerima penambahbaikan merangkumi DVR, kerusi balutan kulit dan skrin multimedia bersaiz 7 inci dengan Apple Carplay dan Android Ready.

Mitsubishi Triton kini didatangkan dengan enam pilihan varian dan empat warna dijual pada harga bermula RM79,890 sehingga RM137,900.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:13 PM