Mohd Zarif Hashim
Mohd Zarif Hashim
Hazwan Faisal Mohamad


Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan pembinaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bakal mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan, berbanding unjuran sebelum ini iaitu tujuh tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, pihaknya juga merancang untuk meraih dana di antara 10 hingga 30 peratus menerusi pembiayaan swasta sebagai sebahagian kaedah untuk membiayai projek itu, manakala dana selebihnya adalah daripada kerajaan.

"Kita merancang untuk melaksanakan model pembiayaan hibrid untuk projek ini dengan menawarkan penyertaan pihak swasta yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

"Namun, perkara ini masih perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan. Selain itu, jika tiada pihak swasta yang berminat untuk menyertai pembiayaan ini, maka kerajaanlah akan menanggung sepenuhnya pembiayaan projek MRT3 ini," katanya pada taklimat mengenai projek itu di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kos projek berkenaan, Mohd Zarif berkata, ia tidak terlalu jauh dengan anggaran yang dikemukakan oleh penganalisis sebelum ini.

Penganalisis menganggarkan kos projek MRT3 adalah di antara RM20 bilion hingga RM30 bilion.

Katanya, projek rel itu akan mempunyai 30 stesen, namun jumlahnya akan ditambah lagi nanti, bagi mengurangkan lagi jarak di antara setiap stesen supaya menjadi lebih mesra pejalan kaki.

"Jarak jajaran rel ini ialah 50 kilometer dengan 40 peratus laluannya adalah di bawah tanah. Kita berharap dapat memuktamadkan jajaran projek ini selepas berakhir tempoh tiga bulan semakan semula projek ini pada akhir Jun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 5:47 PM