Stesen MRT Taman Midah Fasa 2 laluan Semantan-Kajang. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Stesen MRT Taman Midah Fasa 2 laluan Semantan-Kajang. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Rizanizam Abdul Hamid


KEPUTUSAN kerajaan membatalkan projek Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) semalam mendapat reaksi hampir seimbang dalam kalangan pelayar maya sama ada ia wajar diteruskan atau dibatalkan sahaja.

Keputusan itu berdasarkan tinjauan rambang netizen di Twitter tiga akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkumi New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) bertajuk: Wajarkah Projek MRT3 dibatalkan dengan pilihan jawapan Ya atau Tidak.

Di Twitter @NST_Online, ia mendapat 1,849 undian sehingga 12 tengah hari ini sejak undian dibuka 5 petang semalam sebelum berakhir 5 petang ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 57 peratus responden menyokong pembatalan projek itu, manakala bakinya 43 peratus berharap MRT3 diteruskan.

Manakala di Twitter @bharianmy, 3,466 netizen telah membuat undian dengan 54 peratus mahu ia dibatalkan berbanding 46 peratus mahu projek berkenaan diteruskan.

Di Twitter @hmetromy pula, 1,288 pelayar telah memberi pandangan dengan 66 peratus daripadanya berkata ia wajar diteruskan selain 34 peratus bersetuju jika MRT3 dibatalkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di pejabatnya, di Putrajaya semalam berkata, turut dibatalkan adalah Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), namun keputusan akhir tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura.

MRT3 dirancang kerajaan terdahulu untuk menjadi laluan rel transit ke-13, menggunakan sistem automatik sepenuhnya yang kelima dan sistem rel tanpa pemandu di Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga menjelaskan pembatalan dua projek itu dibuat selepas mengambil kira implikasi kewangan kerajaan.

Presiden Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia, Prof Dr Mohamed Rehan Karim turut berkata, keputusan kerajaan itu dilihat sesuai dengan keadaan negara yang terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi.

Jelasnya, banyak pilihan lain yang boleh dilaksanakan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam negara dan pada harga yang mungkin jauh lebih murah berbanding pelaksanaan MRT3 atau HSR.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, dua projek berkenaan perlu diteruskan supaya sistem pengangkutan awam negara berada pada landasan yang terbaik.

Menurut beliau, adalah lebih baik dua projek itu diteruskan, namun kos pelaksanaannya dikaji semula supaya tidak membebankan kerajaan kerana banyak pihak akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 12:50 PM