MOHD Zarif pada sesi taklimat mengenai projek MRT3, semalam.
MOHD Zarif pada sesi taklimat mengenai projek MRT3, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan tawaran tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) boleh mula dibuka untuk bidaan bermula Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, pihaknya juga mengemukakan permintaan untuk maklumat (RFI) kepada peserta industri bagi membolehkan mereka bersedia memandangkan proses tender kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, terdapat perubahan dari segi kaedah pembinaan projek mega itu yang bertujuan untuk menarik penggunaan dan pembangunan teknologi tempatan.

"Kami mahu memberi penekanan terhadap kaedah pembuatan pembinaan seperti penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) dan model bangunan bermaklumat (BIM) dalam projek itu.v

"Ini bererti peserta perlu mahir dengan dua kaedah ini bagi membolehkan mereka menyertai proses tender yang akan mula dibuka pada Ogos ini," katanya pada taklimat mengenai projek itu di sini, semalam.

Mohd Zarif berkata, MRT3 juga dijangka akan mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan berbanding unjuran sebelum ini iaitu tujuh tahun.

Katanya, pihaknya juga merancang meraih dana di antara 10 hingga 30 peratus menerusi pembiayaan swasta sebagai sebahagian kaedah untuk membiayai projek itu manakala dana selebihnya daripada kerajaan.

"Kita merancang untuk melaksanakan model pembiayaan hibrid untuk projek ini dengan menawarkan penyertaan pihak swasta yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

"Namun, perkara ini masih perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan. Selain itu, jika tiada pihak swasta yang berminat untuk menyertai pembiayaan ini, maka kerajaanlah akan menanggung sepenuhnya pembiayaan projek MRT3 ini," katanya.

Ditanya mengenai kos projek berkenaan, Mohd Zarif berkata, ia tidak terlalu jauh dengan anggaran yang dikemukakan oleh penganalisis sebelum ini.

Penganalisis menganggarkan kos projek MRT3 di antara RM20 bilion hingga RM30 bilion.

Katanya, projek rel itu akan mempunyai 30 stesen namun jumlahnya akan ditambah lagi nanti, bagi mengurangkan lagi jarak di antara setiap stesen supaya menjadi lebih mesra pejalan kaki.

"Jarak jajaran rel ini ialah 50 kilometer dengan 40 peratus laluannya adalah di bawah tanah. Kita berharap dapat memuktamadkan jajaran projek ini selepas berakhir tempoh tiga bulan semakan semula projek ini pada akhir Jun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:00 AM