KETUA Wilayah, Penyelenggaraan Rangkaian, Perkhidmatan Infrastuktur UEM Edgenta, Jasni Elias (kanan sekali) memberi taklimat mengenai penambahbaikan terkini kenderaan keselamatan trafik kepada Azman (dua dari kiri) dan Syahrunizam (tiga dari kanan).
KETUA Wilayah, Penyelenggaraan Rangkaian, Perkhidmatan Infrastuktur UEM Edgenta, Jasni Elias (kanan sekali) memberi taklimat mengenai penambahbaikan terkini kenderaan keselamatan trafik kepada Azman (dua dari kiri) dan Syahrunizam (tiga dari kanan).
Bisnes HM

Kuala Lumpur: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), mengukuhkan jalinan kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengembangkan penyelesaian digital dalam operasi penyelenggaraan lebuh raya yang dibina bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan mereka.

UEM Edgenta, menerusi anak syarikatnya di bahagian penyelesaian infrastruktur, Edgenta PROPEL Berhad, menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan lebuh raya kepada PLUS sejak 1988.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, penggunaan teknologi canggih seperti Internet Benda (IoT) dan pembelajaran mesin membolehkan UEM Edgenta menambah baik kualiti perkhidmatannya dan membuat analisis ramalan melalui data masa nyata yang berpusat di Command & Contact Centre (CnC) di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

"Melalui teknologi ini, kami dapat membuat analisis ramalan untuk mengenal pasti potensi kerosakan dan menambah baik perkhidmatan penyelenggaraan secara berkala ke arah pengurusan aset yang lebih bijak.

"Kami juga membangunkan sistem yang dikenali sebagai Road Asset Management System (RAMS), di mana ia membolehkan kami merancang aktiviti penyelenggaraan jalan raya untuk jangka pendek dan panjang, di samping mengutamakan tanggungjawab kami dalam menguruskan lebih daripada 1,000 kilometer aset lebuh raya bagi PLUS.

"Kelebihan utama sistem ini, bersama gabungan pengalaman dan pengkhususan kami, membolehkan kami membuat perancangan pengurusan aset jangka panjang dan mengekalkan masa kerja penyelenggaraan yang optimum di beberapa lokasi," katanya dalam kenyataan sempena lawatan tapak bersama pihak pengurusan UEM Edgenta dan PLUS ke Bertam, Pulau Pinang, yang diadakan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, rangkaian lebuh raya antara bandar adalah nadi penghubung utama negara, dan menyumbang kepada rangsangan pertumbuhan ekonomi, terutamanya ketika fasa pemulihan negara.

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga aset ini, PLUS komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya bagi tujuan komersial mahupun santai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 11:14 AM