AZMIR (tiga dari kiri) bersama Teh (tiga dari kanan) dan Jamaiah (dua dari kiri) pada program gotong-royong. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
AZMIR (tiga dari kiri) bersama Teh (tiga dari kanan) dan Jamaiah (dua dari kiri) pada program gotong-royong. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


SYARIKAT peneraju pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur di rantau ini, UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mengambil inisiatif menjalankan kerja penambahbaikan terhadap Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri P Ramlee, Jalan Timah, Georgetown.

Kerja dijalankan di sekolah berusia 132 tahun itu antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican berkata, kerja penambahbaikan itu julung kali diadakan di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, ia termasuk menaik taraf ruang menunggu, penggantian papan hitam kepada papan putih di semua bilik darjah, melukis mural di bangunan sekolah serta gotong-royong.

“Kami berhasrat melihat sekolah bandar terpencil ini mampu bersaing dengan sekolah lain bukan sahaja dari segi akademik, sahsiah, ko-kurikulum dan sukan, malah fasilitinya.

“Justeru, kami memberi sokongan dalam membantu menambahbaik fasiliti sekolah dengan menyalurkan sumbangan kewangan melalui Tabung Zakat UEM Edgenta bagi membina gazebo sebagai fasiliti tambahan,” katanya.

Azmir turut menanam pokok sebagai simbolik perasmian itu. Hadir sama, Timbalan Presiden Kelab Peminat P Ramlee, Datuk Abdul Rashid Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Teh Lai Heng dan Guru Besar SK Tan Sri Ramlee, Jamaiah Mahli.

Azmir berkata, berikutan Seniman Agung P Ramlee pernah menuntut di sekolah berusia 132 tahun itu, gazebo terbabit turut dinamakan sebagai pondok ‘DoReMi’ dengan berlatarkan mural watak Ramlee, Sudin dan Ajis menaiki basikal dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Katanya, pondok berkenaan bukan sahaja menjadi tempat menunggu, tetapi boleh digunakan sebagai ruang pembelajaran di luar kelas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 4:58 PM