Sheldon Fernandez.
Sheldon Fernandez.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: PropertyGuru Malaysia menjangkakan pasaran hartanah akan menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi secara lebih perlahan dalam norma baharu ini.

Dalam Laporan Jangkaan Pasaran Hartanah 2021 yang dikeluarkannya, ia mendapati pasaran hartanah diramalkan bertambah maju pada separuh kedua 2021 disebabkan oleh peningkatan iklim ekonomi dan kesihatan awam.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, permintaan sedia ada yang kuat untuk pemilikan rumah akan berterusan dengan pertumbuhan sihat dapat disaksikan dalam aktiviti transaksi hartanah.

"Namun, pemulihan ini dijangka berlaku secara beransur-ansur, selaras dengan langkah kita menyesuaikan diri dengan kehidupan pasca-Covid-19.

"Usaha untuk membekalkan vaksin kepada orang ramai juga memberi kelegaan kepada masyarakat dan memberi kesan kepada tingkah laku pembeli pada tahun depan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, iklim ekonomi kini menunjukkan sikap berhati-hati patut menjadi faktor utama dalam setiap proses membuat keputusan terutama disebabkan oleh ketidakpastian pekerjaan dan pendapatan.

"Pembeli rumah bukan saja perlu mempertimbang kos pemilikan rumah, tetapi juga adakah mereka mampu menampung kos ini sambil membiayai perbelanjaan lain.

"Secara keseluruhannya, pembelian rumah memang digalakkan dalam kalangan mereka yang memiliki kedudukan kewangan kukuh ketika ini dan pada masa depan.

"Mereka yang berada dalam kedudukan ini akan mempunyai lebih banyak pilihan di pasaran," katanya.

Katanya, berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia, 57 peratus responden menyatakan niat mereka untuk memiliki rumah pada akhir 2021, sementara satu dari enam responden bercadang untuk menangguhkan rancangan pembelian mereka selama-lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:01 AM