PENGURUS Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.
PENGURUS Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

BELANJAWAN 2021 perlu memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan dan pemacu ekonomi terutama untuk golongan belia dan pencari rumah kali pertama di samping menangani masalah pemaju tertentu seperti kos pematuhan.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, demografi ini menyaksikan peningkatan terhadap minat pemilikan rumah sendiri berikutan wabak Covid-19.

Katanya, walaupun terdapat banyak insentif hartanah dan persekitaran pinjaman yang cemerlang, kehilangan pekerjaan dan pendapatan menghalang mereka daripada membuat pembelian hartanah.

"Jumlah dan nilai transaksi hartanah di Malaysia me nunjukkan pemulihan berbentuk V sebelum Perintah Kawa lan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Secara ringkasnya, insentif semasa untuk hartanah, tambahan dengan kadar faedah yang rendah serta pelbagai insentif pembeli dan penjual sudah cukup untuk mendorong pemulihan pasaran untuk hartanah hingga kini.

"Oleh itu, memang benar ada banyak permintaan mengenai peruntukan belanjawan daripada pemaju dan industri, namun penekanan perlu diberikan kepada pemulihan ekonomi untuk meringankan penderitaan rakyat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, dari segi permintaan pemaju, pemain hartanah sudah menekankan kemungkinan melanjutkan tempoh pinjaman maksimum dan mengkaji kriteria kelayakan untuk pemohon pinjaman perumahan.

Sheldon berkata, pengurangan kos pematuhan berkaitan dengan pembangunan (iaitu kos infrastruktur berkaitan) serta kajian semula program dan ambang pemilikan hartanah oleh warga asing juga antara aspek yang perlu dikaji semula.

"Ketika mengkaji jangka waktu pinjaman dan kriteria kelayakan, institusi kewangan sudah tentu mempunyai keutamaan mereka sendiri dalam pengurusan risiko dan meminimumkan pinjaman tidak berbayar.

"Bagaimanapun, kebimbangan pemaju mengenai kos pematuhan, jika ditangani akan memudahkan perniagaan untuk dijalankan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kajian semula garis panduan pemilikan asing hartanah mungkin dapat mengatasi masalah unit tidak terjual sehingga satu tahap, namun ia berkemungkinan besar tidak akan disukai pencari rumah di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:58 AM