SHELDON berkata disebabkan ketidaktentuan adalah mencabar untuk mengeluarkan prospek perniagaan tepat mengenai situasi pasaran pada tahun ini.
SHELDON berkata disebabkan ketidaktentuan adalah mencabar untuk mengeluarkan prospek perniagaan tepat mengenai situasi pasaran pada tahun ini.
Sri Ayu Kartika Amri

RAKYAT Malaysia terus menangguhkan pembelian hartanah sementara menunggu semakan semula Belanjawan 2023 yang akan diumumkan bulan depan.

Walaupun pasaran hartanah menyaksikan penambahbaikan mantap pada 2022 dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan tahap produktiviti lebih tinggi, hasil laporan Property Market Outlook 2023 menjangkakan tahun yang lebih mencabar dicetuskan ketidaktentuan dasar awam, insentif kerajaan persekutuan dan prospek ekonomi.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, disebabkan ketidaktentuan ini, adalah mencabar untuk mengeluarkan prospek perniagaan tepat mengenai situasi pasaran pada tahun ini.

"Walaupun kita melihat pergerakan pemulihan yang perlahan dalam keseluruhan harga transaksi pada separuh pertama 2022 yang merekodkan trend lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, kami juga mengesan masih wujud sikap berhati-hati kerana rakyat Malaysia menunggu kemungkinan semakan semula Belanjawan 2023.

"Biarpun pasaran hartanah menjangkakan pemulihan berterusan apabila prosedur operasi standard dilonggarkan pada 1 April 2022, konflik Rusia-Ukraine mewujudkan tekanan ke atas kadar inflasi dan menyebabkan lonjakan kadar faedah.

"Kesan peristiwa ini melarat ke dalam sektor pembuatan di Malaysia disebabkan kekurangan bekalan bahan mentah utama," katanya dalam kenyataan.

Indeks Harga Hartanah PropertyGuru Malaysia, yang menjejaki pergerakan harga hartanah yang disenaraikan di PropertyGuru, menyaksikan peningkatan 3.3 peratus bermula 2021.

Walaupun berlaku peningkatan harga median, trend permintaan direkodkan menurun disebabkan penamatan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Pergerakan perlahan tetapi mantap yang berterusan berlaku, seperti digambarkan dengan peningkatan 7.9 peratus suku ke suku Indeks Permintaan Jualan pada suku kedua tahun ini.

Seldon berkata, kejatuhan indeks permintaan berkemungkinan disebabkan bakal pembeli rumah terus mengambil pendekatan berhati-hati disebabkan kadar inflasi dan kos pinjaman yang bertambah.

"Pada masa ini, tidak dapat dipastikan bila kita akan melihat pembaikan, kerana Malaysia bukan hanya sedang berdepan usaha pemulihan ekonomi, tetapi juga dalam perubahan besar landskap politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15.

"Responden Kajian Sentimen Pengguna turut menyatakan jangkaan mereka yang kadar faedah dan inflasi akan terus menaik pada 2023.

"Pendek kata, ini menunjukkan yang rakyat Malaysia masih menanti lebih kestabilan kerana perubahan kerajaan akan memberi kesan kepada penggubalan dasar serta jangkaan penyemakan semula atau bantuan pemilikan perumahan yang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:00 AM