PEKERJA sebuah kilang elektronik mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 ketika bertugas di kilang itu di sekitar Kota Damansara, semalam. Kilang elektronik salah satu kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama dengan kapasiti 60 peratus pekerja sahaja.
PEKERJA sebuah kilang elektronik mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 ketika bertugas di kilang itu di sekitar Kota Damansara, semalam. Kilang elektronik salah satu kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama dengan kapasiti 60 peratus pekerja sahaja.

Kuala Lumpur: Pemberian moratorium tidak hanya terhad kepada kumpulan B40, sebaliknya mereka dari kumpulan M40 atau T20 yang kehilangan pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan.

Mereka juga diberi pilihan untuk mengurangkan bayaran balik ansuran pinjaman sebanyak 50 peratus.

Malah, pihak bank juga komited untuk memudahkan cara serta memberikan kelulusan automatik sekiranya permohonan dibuat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peminjam yang layak ialah mereka yang kehilangan pekerjaan sama ada daripada kumpulan B40, M40 dan T20, penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh.

Katanya, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka sejajar dengan pengurangan pendapatan.

"Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan .

"Saya ingin tekankan bahawa bantuan bukan saja dalam bentuk moratorium, tetapi institusi perbankan turut menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas.

"Mereka juga komited untuk memproses pakej ini dengan cara mudah dan berkesan," katanya ketika ditanya mengapa moratorium tidak diberikan kepada semua sebagaimana ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu dalam sidang media secara maya semalam.

Dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) bernilai RM40 bilion, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:10 AM