PRESTASI pelaburan KWSP tidak terkecuali daripada impak Covid-19.
PRESTASI pelaburan KWSP tidak terkecuali daripada impak Covid-19.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM12.16 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2020 semasa cabaran pandemik global Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alizakri Alias berkata, pandemik ini memberi impak besar ke atas dunia yang tidak bersedia menghadapinya.

Katanya, ini mengakibatkan perubahan mendalam kepada kehidupan seharian serta menyebabkan kemelesetan ekonomi di luar jangkaan.

"Lebih-lebih lagi kerana ia berlaku dalam persekitaran global yang sememangnya lemah akibat kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan pasaran yang didorong oleh isu geopolitik yang masih berterusan sejak 2019.

"Semua pasaran domestik dan global terjejas teruk, terutama pasaran ekuiti yang mengalami penurunan yang ketara dengan kejatuhan pasaran global sehingga 32 peratus manakala prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI jatuh 15 peratus sehingga 31 Mac 2020.

"Selain itu, kebanyakan bank pusat sedunia memperkenalkan pelbagai dasar monetari bagi membantu isi rumah dan peniaga, mengakibatkan penurunan kadar faedah yang mengurangkan hasil daripada pelaburan dalam aset pendapatan tetap," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, prestasi pelaburan KWSP juga tidak terkecuali daripada impak Covid-19 dan mencatatkan penurunan pendapatan pada masa sama.

"Instrumen pendapatan tetap menyumbang RM4.87 bilion kepada pendapatan kasar.

"Sektor hartanah dan infrastruktur dan instrumen pasaran wang pula masing-masing menyumbang RM0.43 bilion dan RM0.54 bilion manakala ekuiti pula mencatatkan RM6.32 bilion, yang mewakili 52 peratus daripada jumlah pendapatan kasar.

"Pendapatan pelaburan bersih yang dicatatkan adalah sebanyak RM7.50 bilion selepas mengambil kira penghapusan ke atas nilai ekuiti tersenarai yang menjadi amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat," katanya.

Menurutnya, walaupun ketidaktentuan pasaran dijangka akan berterusan, KWSP melihat beberapa pemulihan dalam pelbagai pasaran dunia sejak April lalu.

Berikutan pelaksanaan rancangan yang agresif oleh ekonomi besar untuk menangani impak virus terbabit dan memulakan langkah pemulihan ekonomi selepas Covid-19, pihaknya berharap sentimen pasaran akan terus beransur pulih.

"Bagaimanapun, sebagai dana simpanan jangka masa panjang dengan pelaburan di serata dunia, KWSP mengamalkan sistem penilaian dan pengurusan yang tegas dalam membuat sebarang keputusan pelaburan, yang berpandukan strategi jangka masa panjang bagi memastikan kami sentiasa berwaspada dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru mengikuti pergerakan pasaran semasa.

"Oleh itu, KWSP berada dalam kedudukan yang lebih baik menghadapi ketidaktentuan pasaran dan berpeluang menambah pelaburan dalam aset yang kukuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 6:30 AM