KWSP catatkan pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September tahun lalu.
KWSP catatkan pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September tahun lalu.

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangka pembukaan semula ekonomi Malaysia dapat menyokong pemulihan secara beransur-ansur sehingga tahun ini dan merancakkan lagi usaha KWSP untuk membantu kalangan ahli membina semula simpanan persaraan mereka serta melebarkan jaringan keselamatan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara inisiatif utama KWSP pada tahun ini adalah mengemaskinikan mandat supaya kekal relevan kepada lebih ramai rakyat dalam sektor tidak formal serta pekerja kontrak bagi perkhidmatan yang kini merangkumi tenaga kerja majoriti negara.

"Ini penting kerana kami ingin memastikan mereka mendapat akses sekurang-kurangnya kepada taraf hidup minimum, walaupun dalam suasana yang tidak dijangka," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, usaha pemulihan pasca pandemik terus berkembang pada kadar perlahan, walaupun kebimbangan sekitar polisi monetari dan inflasi masih kekal.

"Risiko kepada perkembangan ekonomi Malaysia dilihat lebih cenderung kepada penurunan pada faktor luaran dan dalaman berikutan keresahan Covid-19 yang masih berterusan.

"Kewujudan varian baharu virus Covid-19 yang kalis vaksin adalah antara risiko utama yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasaran.

"Walaupun dalam suasana yang mencabar dan tidak dijangka, KWSP mengharapkan sentimen pasaran akan bertambah baik pada masa hadapan yang terdekat.

"Sebagai dana jangka panjang, kami menangani ketidaktentuan, di samping mengambil kesempatan daripada kemerosotan dalam penilaian aset yang pada asasnya kukuh," katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM48.02 bilion bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September tahun lalu, meningkat 7.7 peratus daripada RM44.60 bilion yang direkodkan pada tempoh sama 2020.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September tahun lalu pula mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku sama 2020.

"Pasaran ekuiti domestik dan pasaran pesat membangun pada suku ketiga tahun lalu adalah tidak menentu, sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan berhubung peningkatan kadar inflasi dan kadar faedah.

"Pada masa sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi maju ketika suasana ketidaktentuan yang memuncak sudah memberikan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan tambahan," katanya.

Menurutnya, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 54 peratus atau RM7.50 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

"Sebagai sebahagian daripada dasar dalaman dan langkah berhemat bagi memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM0.11 bilion sudah dihapus kira untuk ekuiti tersenarai pada suku berkenaan, berbanding RM0.13 bilion pada suku sama 2020.

"Selepas mengambil kira kos hapus kira, pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM13.86 bilion direkodkan pada suku ketiga tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:00 AM