KWSP
KWSP
Syah Rul Aswari Abdullah

[email protected]. my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021.

Ia peningkatan sebanyak RM6.79 bilion atau 25 peratus, berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi kukuh yang dicapai separuh tahun pertama 2021 dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.

"Pelaksanaan program vaksin Covid-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi, telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.

"Bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih lembap berikutan peningkatan kes Covid-19 di beberapa negara di Asia Tenggara, dan disusuli pula oleh kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun kedua 2021 adalah RM14.77 bilion, susut RM350 juta berbanding RM15.12 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan untuk suku tahun kedua 2021 iaitu sebanyak RM7.89 bilion, yang merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion, atau 36 peratus, kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku dikaji.

Ini adalah lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, berikutan pengurangan keuntungan dagangan, selaras dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Hartanah dan Infrastruktur, dan instrumen Pasaran Wang, pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.40 bilion dan RM200 juta.

Amir Hamzah berkata, kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.

Beliau berkata, setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37 peratus adalah pelaburan di luar negara.

"Pada suka kedua 2021, pelaburan luar negara menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan," katanya.

Setakat ini, sebanyak RM67.6 bilion dikeluarkan merangkumi 6.6 juta pemohon i-Sinar membabitkan nilai RM58.8 bilion dengan RM58.5 bilion daripadanya sudah disalurkan, manakala i-Citra pula sebanyak lima juta pemohon berjumlah RM20.8 bilion dengan jumlah yang sudah disalurkan RM9.1 bilion.

Kira-kira 89 peratus pemohon i-Sinar dan 86 peratus pemohon i-Citra menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan mendesak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 5:10 PM