FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


KUMPULAN AirAsia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM953 juta bagi suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan RM102 juta yang dicatatkan suku sebelumnya.

Kerugian itu berpunca daripada penurunan pendapatan akibat permintaan yang terjejas dan kos penyelenggaraan yang tinggi sehingga 54 peratus berikutan impak pertukaran pemilikan pesawat (MFRS137).

Bagi tempoh berkenaan, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.3 bilion, merosot 15 peratus daripada RM2.7 bilion pada suku pertama 2019.

Walaupun memulakan tahun 2020 dengan prestasi yang kukuh pada Januari lalu, namun ketidak tentuan mengenai pandemik Covid-19 selain larangan perjalanan dan kawalan sempadan menyebabkan permintaan perjalanan udara terus merudum pada Februari dan Mac lalu.

Pengurangan dalam jumlah tempat duduk per kilometer (ASK) sebanyak 19 peratus adalah disebabkan pengurusan kapasiti untuk mengurangkan impak Covid-19 selain pengurangan jumlah penumpang sehingga 22 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tahun ini adalah cabaran paling getir pernah ditempuh sejak memulakan operasi pada 2001.

"Kami positif dalam kemajuan yang telah kami lakukan untuk menurunkan perbelanjaan tunai sekurang-kurangnya 50 peratus tahun ini.

"Ini akan menjadikan kami lebih kuat sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi operasi penerbangan, pihaknya yakin dengan momentum permintaan dicatatkan sejak memulakan semula operasi pada hujung April lalu.

"Kami yakin ia akan berterusan pada bulan akan datang.

"Produk yang baru diperkenalkan, AirAsia Unlimited Pass berjaya dijual dalam masa singkat dan ia menjadi petanda baik untuk operasi kami pasca-Covid-19," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga memohon pinjaman bank di negara ia beroperasi untuk meningkatkan kecairan.

"Kami juga menerima cadangan untuk mengumpulkan modal bagi memperkukuh asas ekuiti dan kecairan dari beberapa bank pelaburan, pemberi pinjaman dan juga bakal pelabur untuk membantu kami mengatasi kesan akibat pandemik Covid-19.

"Kami turut mengdakan beberapa siri perjumpaan dengan pihak tertentu untuk usaha sama yang dapat menghasilkan pelaburan tambahan dalam segmen tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata, sejak memulakan operasi domestik hujung April lalu, pihaknya menyaksikan pertambahan jumlah penumpang setiap minggu.

"Kami menjangka untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sehingga 50 peratus daripada jumlah sebelum Covid-19 dan akan menyambung semula perjalanan domestik beberapa minggu lagi," katanya.

Menurutnya, sehingga kini AirAsia mengendalikan 191 penerbangan setiap hari dan menanti pembukaan semula sempadan antarabangsa bagi merancakkan aktiviti ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 7:28 PM