Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah pada Majlis Perasmian Hari Hasil ke-23 di Menara Hasil Cyberjaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah pada Majlis Perasmian Hari Hasil ke-23 di Menara Hasil Cyberjaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

Kerajaan menetapkan sasaran baharu kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini sebanyak RM150 bilion berbanding sasaran awal sebanyak RM147 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.9 peratus yang perlu disusuli dengan pertambahan kutipan cukai yang sewajarnya.

"Dengan kemampuan LHDN untuk mendapatkan kutipan yang lebih tinggi dan rakyat yang lebih sudi untuk membayar cukai kerana yakin kerajaan yang bersih tidak akan merompak duit mereka," katanya ketika merasmikan Hari Hasil 2019, di Cyberjaya, hari ini.

Lim berkata, sebelum ini, kerajaan meletakkan sasaran kutipan cukai langsung sebanyak RM147 bilion bagi tahun ini, peningkatan sebanyak 7.27 peratus berbanding 2018.

Katanya, LHDN telah mencipta sejarah pada tahun lalu apabila mencatatkan kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu meningkat RM13.723 bilion atau 11.13 peratus lebih tinggi berbanding 2017.

"Pencapaian kutipan ini mencerminkan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, seiring dengan pengenalan tadbir urus Kerajaan Persekutuan memperkasakan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT)," katanya.

Mengenai bayaran balik cukai pendapatan, Lim berkata, setakat Januari lalu, sejumlah RM1.64 bilion telah dibayar membabitkan lebih 32,000 kes merangkumi 18,215 kes syarikat, 14,082 bukan syarikat dan 162 duti setem.

Katanya, pembayaran balik tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion merangkumi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan pada tahun ini dijangka selesai dalam tempoh 10 bulan atau dalam tempoh lebih singkat.

"RM19.4 bilion (GST) dan kira-kira RM18 bilion bagi cukai pendapatan. Perbezaan pada tahun ini ialah anda akan mendapat bayaran balik awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 2:21 PM