MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI
Bisnes HM

PENYEDIAAN Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) adalah antara mercu tanda pencapaian cemerlang buat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wawasan itu hala tuju baharu pembangunan negara membabitkan penstrukturan semula ekonomi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Beliau berkata, usaha itu antara lain bertujuan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kelas pendapatan, kaum, wilayah dan rantaian nilai.

“Bagi merealisasikan matlamat dan objektif WKB 2030, MEA melaksanakan 390 sesi babit urus membabitkan setiap peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan dan sektor swasta dalam penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas.

“Sebagai kerajaan yang peduli rakyat, MEA juga membentangkan Kertas Putih Felda bagi menyuntik dinamik baru dan mengatasi kesulitan semasa demi masa depan 112,635 peneroka dan keluarga mereka,” katanya dalam Laporan Pencapaian MEA 2019 di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, 2019 tahun yang penuh bermakna bagi kementerian itu kerana dalam tempoh 12 bulan lalu, MEA memenuhi lima janji daripada empat teras dan tiga iltizam khusus untuk warga Felda.

Katanya, perkara itu adalah seperti yang sudah dipertanggungjawabkan kepada kementeriannya selaku peneraju perancangan pembangunan sosioekonomi Malaysia yang mampan, maju dan inklusif.

“Tahun 2019 tahun yang produktif bagi MEA untuk terus membina muafakat atas asas yang kukuh bagi pelaksanaan agenda pembangunan negara.

“Saya bersama seluruh pimpinan dan anggota MEA akan terus mempertingkatkan lagi usaha bagi memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan kepada rakyat,” katanya.

Berdasarkan kepada laporan terbabit, pihak MEA menyediakan enam fokus pencapaian yang dilaksanakan oleh kementerian itu pada tempoh 12 bulan lalu.

Antara fokus itu adalah hala tuju pembangunan negara dan agihan peruntukan serta usaha dalam meletakkan Malaysia di persada dunia dan inisiatif membela nasib peneroka.

Seterusnya, MEA turut memberi perhatian dalam memperkasa aktiviti pertanian dan pembangunan pekebun kecil serta tanah berkelompok, meringankan beban rakyat dan memperkasa golongan Bumiputera.

Laporan pencapaian itu turut menyentuh mengenai peruntukan khusus untuk Sabah dan Sarawak di mana perbelanjaan pembangunan kepada Sabah sebanyak RM4.59 bilion dan Sarawak berjumlah RM4.17 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:01 AM