PENGUKIR  mengukir kayu untuk hiasan ruang tamu pada  Simposium Usahawan Perabot Bumiputera Kebangsaan 2019.
PENGUKIR mengukir kayu untuk hiasan ruang tamu pada Simposium Usahawan Perabot Bumiputera Kebangsaan 2019.
Hazwan Faisal Mohamad


SERDANG: Penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan tempatan perlu terus dipertingkatkan berdasarkan sumbangan nilai eksport kayu dan produk kayu daripada mereka yang didapati masih rendah iaitu hanya satu peratus.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, peningkatan itu adalah penting kerana usahawan Bumiputera mempunyai potensi besar untuk turut serta dan lebih aktif dalam industri perkayuan negara.

Menurutnya, sumbangan nilai eksport kayu dan produk kayu oleh usahawan Bumiputera hanya sekitar satu peratus pada masa ini dengan jumlah pemilikan kilang Bumiputera adalah sebanyak 370 daripada anggaran 3,500 kilang di Malaysia.

“Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti dan mempengaruhi penyertaan yang rendah dalam kalangan usahawan Bumiputera. Antaranya adalah seperti persaingan sengit selain strategi pemasaran kurang berkesan dan kelemahan pengurusan yang menjejaskan prestasi perniagaan.

“Oleh yang demikian, pembangunan pelan perniagaan yang komprehensif adalah penting bagi memastikan usahawan Bumiputera mampu mengembangkan rangkaian perniagaan mereka di pasaran terbuka berbanding hanya bergantung kepada projek kerajaan,” katanya pada Simposium Usahawan Perabot Bumiputera Kebangsaan 2019: Kelestarian Industri Perabot Bumiputera di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong; Presiden Persatuan Usahawan Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA), Hanafee Yusoff dan Pengarah Putra Science Park UPM, Prof Dr Mohd Adzir Mahdi.

Sementara itu, Kok berkata, eksport perabot kayu negara dijangka meningkat satu peratus pada tahun ini berbanding RM7.79 bilion tahun lalu di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia.

Setakat Ogos 2019, nilai eksport perabot kayu adalah RM5.6 bilion di mana ia adalah peningkatan 13.5 peratus berbanding bulan sama tahun lalu iaitu daripada RM4.9 bilion.

Menurutnya, peningkatan berkenaan menunjukkan pemain industri sudah mula memberi tumpuan kepada produk bernilai tambah tinggi terutama perabot berbanding pengeluaran produk primer seperti kayu balak, papan lapis dan lain-lain.

“Tumpuan kepada produk bernilai tambah seperti perabot perlu disokong dan diteruskan kerana ia memberi lebih nilai di samping sumbangannya yang besar kepada pendapatan eksport negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 7:05 AM