Kuala Lumpur: Lembaga Perindustrian Perkayuan Malaysia (MTIB) meletakkan sasaran hasil eksport perkayuan dan produknya mencecah sehingga RM22 bilion pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Dr Jalaluddin Harun berkata, bagi tempoh Januari sehingga Mei 2015, jumlah hasil eksport berkenaan meningkat 0.6 peratus kepada RM8 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kebiasaannya, angka ini akan meningkat bagi tempoh pertengahan tahun sehingga September. Maka, kita menganggap sasaran daripada RM20 bilion kepada RM22 bilion itu mampu dicapai dengan syarat promosi bagi produk eksport yang ada nilai tambah tinggi untuk perabot ini dapat diperhebatkan selain bergerak agresif menyertai pameran antarabangsa,” katanya selepas Program Kecemerlangan MTIB dan perayaan Aifilfitri 2015, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, tahun lalu, eksport perkayuan serta produknya mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM20.5 bilion daripada RM19.3 bilion pada 2013.

Lima destinasi utama eksport berkenaan pada tahun lalu adalah Jepun, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, India dan Australia.

Dr Jalaluddin berkata, MTIB turut menyasarkan untuk meraih antara RM13 bilion dan RM14 bilion menerusi hasil penggunaan domestik pada tahun ini.

“Kami optimis industri pembinaan tempatan yang agresif serta permintaan tinggi bagi perabot kayu akan terus menyokong pertumbuhan itu.

“Industri pembinaan negara sememangnya aktif. Jika aktiviti pembinaan terus meningkat, sudah pasti permintaan dan keperluan kayu serta perabot turut tinggi. Ia secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi penggunaan hasil kayu di pasaran domestik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:47 PM