TONY Fernandes (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran kerjasama kiwi.com dan turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kiwi.com, Oliver Dlouhý (tengah) di Ibu Pejabat AirAsia (RedQ). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
TONY Fernandes (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran kerjasama kiwi.com dan turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kiwi.com, Oliver Dlouhý (tengah) di Ibu Pejabat AirAsia (RedQ). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Syarifah Dayana Syed Bakri


AIRASIA jual tiket syarikat penerbangan lain? Bunyinya mungkin sedikit janggal namun, itulah yang mereka lakukan kini.

Kumpulan AirAsia kini menawarkan tiket bagi syarikat penerbangan lain melalui airasia.com selari dengan transformasinya untuk menjadi peneraju platform perjalanan dan gaya hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pelanggan penumpang kini boleh mendapatkan pilihan tiket mana-mana syarikat penerbangan melalui airasia.com.

“Ketika memulakan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pada 2001, saya tidak pernah terfikir untuk menawarkan tiket penerbangan dari pesaing kami.

“Namun, ini yang kami lakukan hari ini. Dengan kerjasama kiwi.com, kami melalui fasa transformasi untuk menjadi lebih daripada sekadar syarikat penerbangan,” katanya pada majlis pelancaran di Sepang, hari ini.

Melalui perkhidmatan terbaru ini, pelanggan boleh menempah perjalanan dari lebih 100 syarikat penerbangan ke destinasi yang tidak dikendalikan AirAsia termasuk ke Eropah, Australia, New Zealand, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Sempena pelancaran ini, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua ke Madrid dari Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta dan Sydney dari hanya RM99.

Ia mula ditawarkan pada 16 November ini bermula jam 9 pagi untuk perjalanan segera hingga 31 Mac 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 4:05 PM