AIRASIA kini giat mempelbagaikan bisnes.
AIRASIA kini giat mempelbagaikan bisnes.

AIRASIA.COM melancarkan airasia Health, platform digital pertama seumpamanya di Asean yang menawarkan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.

Sebagai permulaan, airasia Health menawarkan tempahan untuk ujian RT-PCR Covid-19 bermula daripada RM260 yang disediakan oleh rakan perubatannya Lifecare Diagnostic Medical Centre dan Pusat Perubatan Sunway.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan berkata, penjagaan kesihatan adalah aspek penting untuk semua dan pihaknya ingin membantu memudahkannya.

"Daripada rundingan awal hingga perkhidmatan pasca-rawatan, kami berhasrat menawarkan perkhidmatan yang lancar untuk semua melalui platform airasia Health.

"Bukan itu sahaja, airasia Health juga menawarkan perkhidmatan perjalanan yang disokong oleh ekosistem airasia.com.

"Ia turut merangkumi perkhidmatan logistik perjalanan seperti pilihan penerbangan, penginapan dan mobiliti, seterusnya memudahkan perjalanan pelancong perubatan," katanya dalam satu kenyataan.

Airasia Health turut bekerjasama dengan penyedia perubatan dan hospital terkemuka.

Ia bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti perundingan profesional, rawatan tempahan seperti pemeriksaan kesihatan, estetika, pemeriksaan kesejahteraan dan kesuburan.

Selain itu, platform berkenaan turut menawarkan perkhidmatan logistik merangkumi penerbangan, penginapan, perkhidmatan sokongan visa perubatan dan peneman pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 7:10 AM