EDDY Han. FOTO Nik Hariff Hassan
EDDY Han. FOTO Nik Hariff Hassan
hmdigital

KUALA LUMPUR: Pengguna dalam talian ternyata sangat menantikan tarikh 11.11 untuk melakukan pembelian besar-besaran di mana kebanyakan platform beli-belah atas talian melepasi rekod penjualan tahun lalu.

Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, ribuan pembeli dalam kalangan rakyat Malaysia membuat pembelian dalam talian dengan pantas sebaik saja ia dilancarkan malam tadi dan ShopBack Malaysia menyaksikan kesesakan dalam talian pada jam pertama.

“Ia meningkat lebih daripada 300 peratus berbanding jam yang sama iaitu sekitar jam 12 tengah malam hingga jam 1 pagi tahun lalu, yang mewakili kira-kira 35 peratus daripada trafik keseluruhan pada 11 November 2018.

“Berbanding jam yang sama pada hari lain pada November, pertumbuhan trafik melebihi 1,200 peratus daripada biasa dan pada jam 9.30 pagi, kami mencapai trafik keseluruhan pada 11/11 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Tiga kategori paling popular ialah pasaran, e-dompet dan fesyen serta kecantikan manakala tiga perniagaan utama terbaik untuk jam pertama ialah Lazada, Shopee dan Taobao tanpa sebarang pesanan.

ShopBack bekerjasama dengan lebih 500 e-perniagaan di Malaysia untuk menawarkan pulangan tunai 30 peratus menerusi ShopBack untuk membuat pembelian.

Senarai e-perniagaan termasuk Lazada, Shopee, ZALORA, Taobao Alibaba, Tmall and AliExpress, selain Agoda, Booking.com, KLOOK, TnG eDompet dan Boost eDompet.

Sementara itu, Lazada dalam satu kenyataan berkata, ia melepasi rekod jualan 11.11.2018 dalam tempoh 13 jam.

“Kami menjual melebihi sejuta barang pada jam pertama jualan dan menghantar bungkusan pertama kepada pelanggan pada jam 1:20 pagi yang mana ia adalah suatu rekod yang luar biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:51 AM