ZURAIDA (tengah) menanam anak pokok koko simbolik kepada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar Bukit Gangis Mukim Setul Mantin. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ZURAIDA (tengah) menanam anak pokok koko simbolik kepada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar Bukit Gangis Mukim Setul Mantin. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mensasarkan nilai eksport komoditi koko meningkat kepada RM14 bilion tahun ini berbanding RM7 bilion tahun lalu.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan dipacu oleh potensi pasaran yang besar untuk komoditi berkenaan di peringkat antarabangsa.

Katanya, bagaimanapun Malaysia perlu mengeluarkan lebih banyak produk hiliran berasaskan koko berkualiti tinggi bagi mengembangkan potensinya di luar negara.

"Strategi kementerian adalah untuk memperluaskan lagi pasaran koko di luar negara terutama di negara-negara yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

"Oleh itu, kita perlu mengeluarkan lebih bahan mentah dan produk hiliran berasaskan bahan mentah koko kerana ketika ini kita tidak banyak industri hiliran berkenaan walaupun berpotensi besar.

"Dengan adanya projek seperti ini, kita (Malaysia) bukan saja berupaya menjadi pengeluar koko tetapi juga coklat pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar Bukit Gangis Mukim Setul Mantin di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Willie Anak Mongin; Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), Rahimah Majid: Ketua Pengarah LKM, Dr Ramle Kasin; Pengarah Eksekutif Pemaju Industries Berhad (PIB), Tang Boon Koon dan wakil daripada Kedutaan Austria, Andreas Launer.

Terdahulu dalam ucapannya, Zuraida berkata projek berkenaan akan mengangkat Malaysia sebagai negara pengeluar hasil koko yang berkualiti dan boleh dijejaki.

"Menerusi hasil lawatan dan rundingan dengan pihak luar negara, didapati bahawa negara-negara pengguna koko sememangnya berminat dengan sumber koko yang memenuhi matlamat United Nations Sustainable Development Goals (UNSDG).

"Diharapkan teknologi ini dapat membantu meningkatkan pengeluaran hasil buah koko manakala ladang ini boleh menjadi ladang contoh dan dapat menarik lebih ramai pelabur, syarikat perladangan dan generasi muda untuk mengusahakan tanaman koko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 3:54 PM