DR Lee menunjukkan antara coklat yang dipasarkan.
DR Lee menunjukkan antara coklat yang dipasarkan.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perkembangan industri koko negara boleh dianggap baik dan positif pada masa ini serta dijangka terus berkembang dengan permintaan yang kian meningkat daripada tahun ke tahun.

Walau bagaimanapun, satu daripada komoditi negara ini mula mengalami perubahan ketara iaitu daripada menjadi antara negara pengeluar bahan mentah koko pada 80-an kepada negara pengisar utama koko Asia dan pengeksport produk berasaskan koko.

Lembaga Koko Malaysia (LKM) selaku agensi yang terbabit secara langsung dalam industri koko negara menetapkan sasaran untuk menjadi pengeluar produk utama coklat di Asia pada masa akan datang dengan memberi fokus kepada pembangunan usahawan koko.

Pada kali ini, Bisnes Metro (BM) berkesempatan menemui Ketua Pengarah LKM iaitu Datuk Dr Lee Choon Hui (CH) bagi mengajukan soalan mengenai pembangunan usahawan koko di negara ini di mana ia adalah sebahagian daripada langkah penting bagi memastikan negara mampu menjadi pengeksport produk berasaskan koko utama di rantau Asia.

Sila jelaskan situasi sektor produk berasaskan koko di negara ini?

Negara mencatatkan peningkatan sebanyak 32.3 peratus daripada aspek perolehan eksport biji koko dan produk koko kepada RM4.795 bilion pada tahun lalu berbanding RM3.625 bilion pada 2013.

Sepanjang lima tahun lalu, nilai eksport bagi industri koko menunjukkan peningkatan dengan jangkaan eksport pada tahun ini stabil pada paras RM4.8 bilion dibantu peningkatan harga produk koko terutama lemak dan pes koko serta coklat.

Apakah inisiatif LKM dalam membangunkan lebih ramai usahawan untuk menghasilkan produk berasaskan koko?

Kami memperkenalkan dua program iaitu kursus pembuatan coklat dan program pembangunan usahawan coklat buatan tangan (mikro) bertujuan membangunkan usahawan berpotensi untuk memulakan perniagaan dan membantu mereka dalam mendapatkan pinjaman serta mempromosikan produk masing-masing.

Sila jelaskan mengenai dua program terbabit secara lebih lanjut.

Kami mencatatkan lebih 400 permohonan penyertaan pada tahun lalu berbanding 380 (2013) untuk kursus pembuatan coklat manakala permintaan untuk menyertai program pembangunan usahawan coklat juga amat menggalakkan di mana seramai 185 usahawan pembuat coklat berdaftar dengan LKM pada tahun lalu berbanding 160 pada 2013 dengan pengeluaran 191,222 kilogram coklat dan hasil jualan RM12 juta pada 2014.

Kami menjangkakan seramai 25 orang lagi usahawan akan berdaftar bagi menyertai program pembangunan usahawan coklat sehingga hujung tahun ini sekali gus jumlah keseluruhan usahawan pembuat coklat berdaftar dan aktif di bawah LKM seramai 210 usahawan.

Kesimpulan anda mengenai situasi terkini pembangunan usahawan koko negara?

Peningkatan jumlah dan permintaan ini terjadi kerana rakyat Malaysia sedar bahawa coklat adalah satu makanan atau hidangan yang boleh dibuat sendiri dengan mudah dan dijadikan sebagai perniagaan sampingan menjana pendapatan isi rumah.

Kami yakin perkembangan dan pembangunan usahawan pembuat coklat terutama coklat buatan tangan di luar bandar boleh dipertingkatkan dengan adanya kreativiti menghasilkan cita rasa coklat unik di setiap kawasan seperti coklat ‘Spicy’ dari Serian, Sarawak yang memberikan rasa pedas kepada si pemakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:03 AM