ZULKIFLEE  (kiri) bertukar dokumen dengan Raja Azura  disaksikan  Saiful Anuar   pada majlis menandatangani MoU antara Bank Rakyat dan Yayasan Peneraju di Kuala Lumpur.
ZULKIFLEE (kiri) bertukar dokumen dengan Raja Azura disaksikan Saiful Anuar pada majlis menandatangani MoU antara Bank Rakyat dan Yayasan Peneraju di Kuala Lumpur.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Seramai 300 pelajar dijangka menerima manfaat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi menerusi pembiayaan pendidikan-i yang disediakan Bank Rakyat.

Bank Rakyat memperuntukkan pembiayaan pendidikan-i berjumlah RM60 juta bagi tujuan itu dan program pertama dianggarkan bermula sekitar Jun 2018.

Pembiayaan itu diberikan kepada pelajar Bumiputera yang berkelayakan untuk menyambung pengajian di bawah Program Kerjaya Berpendapatan Tinggi (SHIP) anjuran Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).

Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, penyediaan pembiayaan pendidikan itu adalah komitmen jitu bank koperasi Islam terbesar di Malaysia itu dalam membangunkan modal insan di negara ini.

Beliau berkata, program itu menyediakan pembiayaan antara RM60,000 hingga RM200,000 kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sekiranya program pembiayaan ini mendapat sambutan, Bank Rakyat tidak menolak kemungkinan meningkatkan peruntukan pembiayaan,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Bank Rakyat dan Yayasan Peneraju di sini, semalam.

Majlis memeterai MoU itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, program SHIP yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 18 Ogos lalu akan memberi tumpuan kepada sektor utama yang memerlukan tenaga mahir dan profesional seperti perkhidmatan kewangan, kesihatan, maritim dan aeroangkasa.

Beliau berkata, program itu dilancarkan sejajar aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional tempatan dalam sektor utama dan meningkatkan bilangan rakyat negara ini yang berpendapatan lebih RM20,000 sebulan.

Katanya, antara kriteria yang diambil kira bagi memperoleh pembiayaan pendidikan-i Bank Rakyat di bawah program SHIP itu adalah berumur di bawah 40 tahun dan mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya lima tahun dalam bidang berkaitan.

Sejak program SHIP dilancarkan, seramai 380 sudah mendaftar dan kini sedang dalam proses penilaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 4:53 AM