NIZAM menunjukkan risalah pertandingan ucapan spontan anjuran Bank Rakyat, semalam.
NIZAM menunjukkan risalah pertandingan ucapan spontan anjuran Bank Rakyat, semalam.
Suffian A Bakar

Kuala Lumpur: Bank Rakyat menawarkan Pembiayaan Pendidikan-i sebagai kemudahan bagi penuntut yang berkelayakan menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di dalam atau luar negara.

Menerusi tawaran itu, penuntut berkelayakan boleh memohon Pembiayaan Pendidikan-i sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun pada kadar keuntungan yang kompetitif.

Ketua Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani berkata, pembiayaan berkenaan ditawarkan kepada penuntut yang mengikuti pelbagai kursus di IPT dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, pembiayaan turut membantu pelanggan merancang serta menguruskan kewangan dengan lebih cekap dan memberikan keselesaan keperluan tunai yang cepat dan pantas.

“Produk ini juga adalah inisiatif Bank Rakyat terhadap pembangunan modal insan negara serta melahirkan masyarakat yang berkemahiran tinggi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Antara syarat kelayakan bagi memohon pembiayaan itu ialah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun pada akhir tempoh pembiayaan.

Pemohon atau ahli keluarga pemohon mesti berpendapatan minimum RM2,000.

Pada majlis sama, Nizam turut mengumumkan kempen terbaharu Bank Rakyat iaitu Kempen Tujuh dan 11 Bulan menerusi Akaun Deposit-i Berjangka bermula 1 Ogos sehingga 31 Oktober ini.

Menerusi kempen itu, pelanggan hanya perlu mendeposit minimum sebanyak RM10,000 dalam Akaun Deposit-i Berjangka dan boleh membuat pilihan untuk meletakkan deposit bagi tempoh 11 bulan dengan kadar keuntungan 4.50 peratus setahun atau tujuh bulan dengan kadar keuntungan 4.30 peratus setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 11:43 AM